GIO urus siaran langsung dari Masjidil Haram


SETIAP kali menyaksikan solat tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, ramai yang bersyukur kerana seolah-olah dapat bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia menunaikannya di Mekah.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa selain kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), siaran langsung itu adalah hasil keprihatinan kerajaan Arab Saudi.

Semuanya dengan niat agar manusia khususnya umat Islam seluruh dunia dapat menyaksi dan menghayati keindahan Islam.

Menonton solat tarawih secara langsung secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kita meneruskan perjuangan mengisi tabung amal sepanjang Ramadan yang mulia ini.

Bagi memastikan kelancaran siaran langsung itu, Gulf Information Office (GIO) menyediakan 12 petugas di Mekah dan 10 petugas di Madinah.

Penyelia GIO Mekah, Ali A. Al-Ekbaly berkata, sebanyak enam jurukamera diperlukan bagi siaran langsung majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjidil Haram.

Katanya, GIO adalah penyiar dan pengedar tunggal yang mendapat kebenaran kerajaan Arab Saudi bagi merakam visual untuk Masjidil Haram.

Menurutnya, semua rakaman audio di Masjidil Haram perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dahulu.

"Tahun lalu, kita memberi hak siaran langsung solat tarawih secara percuma kepada banyak negara Islam seperti Kuwait, Sudan, Mesir, Libya dan Jordan.

"Ia termasuk Malaysia melalui saluran Astro Oasis yang disiarkan pada pukul 3 pagi," katanya dalam pertemuan dengan Mega di Masjidil Haram, Mekah, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, penulis turut dibawa ke bilik operasi Outsite Broadcast (siaran luar) yang dikawal oleh empat petugas dan dua jurutera.

Petugas di OB inilah yang memastikan kelancaran siaran langsung bermula daripada berbuka sehingga tamatnya solat tarawih.

Bagaimanapun, siaran langsung itu hanya boleh disaksikan di Arab Saudi. Negara lain termasuk Malaysia yang menyiarkan siaran langsung solat Isyak dan tarawih daripada Masjidil Haram.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url