Top Ad 728x90

,

Elak hutang kunci kejayaan Hasim


PENGALAMAN diperoleh selama 23 tahun ketika bekerja dalam industri pengeluaran minuman gergasi tidak disia-siakan Hasim Mohd, 52, apabila dengan penuh yakin mengorak langkah menyertai dunia keusahawanan yang serba mencabar sejak 10 tahun lalu.

Menyedari industri pengeluaran minuman dimonopoli pengusaha berbangsa Cina, Hasim yang kini bergelar Pengarah Fitrah Food Sdn Bhd (FFSB) eng­gan mengalah dan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan produk minuman pertama syarikat, Minuman Herba Cincau Segar.

Berpengalaman sebagai pe­nyelia, pengurus pengeluaran dan pengurus operasi sebelum ini, beliau kerap membuat pemerhatian tatkala melaksanakan tugas, sekali gus me­nyedari pasaran minuman cincau memiliki potensi serta pasaran besar jika ia dikembang­kan.

Katanya, minuman cincau dihasilkan syarikat milik Bumiputera jarang kelihatan di pasaran, sedangkan ia antara pilihan utama bagi masyarakat Melayu khususnya.

“Melihat fenomena berkenaan, saya seakan-akan terpanggil untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah kerana saya mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk mengeluarkan produk minuman cincau.

“Cincau satu daripada jenis herba yang mempunyai fungsi baik untuk kesihatan manusia, namun manfaat itu jarang didedahkan kepada umum, malah segelintir masyarakat menganggap ia cuma minuman biasa,” katanya.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan FFSB, Hasim nekad mengambil risiko dengan menggunakan semua wang simpanan hasil pendapatan dikumpul semata-mata untuk memulakan perniagaan tanpa mengharapkan pinjaman kewangan daripada bank.

“Saya enggan bergantung harap kepada bantuan semata-mata, selain tidak mahu dibelenggu tanggungan hutang dan tekanan biarpun ia dapat memajukan operasi perniagaan dengan mudah.

“Tambahan pula, saya memulakan perniagaan pada usia lewat iaitu 42 tahun. Jika saya memohon pinjaman bank, tentu ia memakan masa lama berikutan proses merumitkan.

“Selain itu, saya tidak mahu perniagaan ini dijalankan secara tergesa-gesa gara-gara bebanan hutang bank hingga membuat­kan saya hilang fokus dan mengabaikan tujuan asal penubuhan syarikat ini,” katanya yang ditemui di kilangnya, di Taman Industri Subang, Selangor.

Hasim mengakui, awalnya menghadapi cabaran besar untuk mengukuhkan syarikat yang cuma bergantung kepada modal kecil berbanding syarikat gergasi lain.

Ketika peniaga lain menggunakan media cetak dan elektronik sebagai medium promosi, Hasim terpaksa membulatkan hati mengambil pendekatan berbeza berikutan kekurangan modal bagi menampung kos pengiklanan tinggi.

Gara-gara ingin menjimatkan kos pengiklanan, bapa kepada dua anak ini mula menjalin hubungan persahabatan dengan penyelia makanan di kilang elektronik gergasi sekitar Lembah Klang.

Strategi serampang tiga mata dilaksanakan Hasim menunjukkan keberkesanan apabila teman baru (penyelia makanan) itu berminat memasarkan produk syarikat di kantin kilang.

Hasim yang juga memainkan peranan penting sebagai pegawai pemasaran mengakui ramai peniaga bermodal kecil memandang ringan strategi pemasaran di kilang berikutan masing-masing beranggapan hebahan menerusi media lebih berkesan.

Beliau tidak menafikan peranan penting media namun promosi melalui ‘mulut ke mulut’ disifatkan lebih efektif selain menjimatkan kos pengiklanan.

Mensasarkan kilang besar sebagai lokasi pemasaran, Hasim berkata, kadar bilangan pekerja industri berskala besar menjadi ‘ejen’ promosi secara tidak langsung kepada orang lain jika produk syarikat menjadi pilihan di kantin kilang masing-masing.

Bermula dari situ, produk keluaran FFSB mula dikenali di kalangan masyarakat sebelum ia memasuki pasar raya besar termasuk Mydin, Carrefour serta stesen minyak Petronas sekitar Lembah Klang.

Malah kini, Hasim boleh berbangga apabila produk minuman Cincau Segar keluaran FFSB menembusi pasaran Selangor, Terengganu, Kelantan, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Namun usaha mengekalkan momentum perniagaan tidak terhenti di situ saja apabila Hasim turun padang ke setiap cawangan pasar raya terpilih untuk melakukan sample produk (sampling) pada hujung minggu.

Kejayaan memasuki pasar raya tidak seharusnya diambil mudah dan bersikap lepas tangan kerana produk syarikat seolah-olah menjadi perhiasan di rak tanpa disedari orang ramai jika tiada promosi dijalankan.

Katanya, inisiatif itu (sampling) perlu dilakukan peniaga bagi memperkenalkan produk kepada pelanggan baru, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada mereka untuk meningkatkan kualiti produk.

Jawatan pengarah dipegang Hasim tidak menimbulkan rasa riak dan malu baginya untuk menghulurkan secawan minuman cincau keluaran syarikat, malah ia dianggap lebih memudahkan, terutama ketika memberi penerangan kepada orang ramai.

Selain itu, FFSB tidak melepaskan peluang menyertai pameran anjuran kerajaan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) serta beberapa pameran kecil lain.

Hampir 10 tahun beroperasi, FFSB kini mengeluarkan tiga produk utama termasuk Minuman Herba Cincau Segar, Minuman Rumpai Laut dan Lemon serta kolagen Rumpai Laut, Beauty Queen.

Menurut Hasim, dalam tempoh terdekat, rangkaian produk minuman cincau dan berasaskan rumpai laut akan dipelbagaikan bagi memenuhi cita rasa pelang­gan serta mewujudkan persaingan positif antara jenama lain.

Selain itu, FFSB bakal melebarkan sayap perniagaan ke negara jiran termasuk Kemboja dan Vietnam kerana pada pandangan Hasim, negara terbabit mempunyai potensi pasaran untuk diterokai.


PROFIL

NAMA: Hasim Mohd
JAWATAN: Pengarah Fitrah Food Sdn Bhd
LAHIR: 7 September 1954
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
ISTERI: Nafisah Chik
ANAK: Rabbiatul Adawiah (19) dan Muhamad Aliff Firdaus (16)
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Makanan, Institut Teknologi Mara (1977)

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90