Impak lebih teruk jika meleset?

Ketika dalam kemelesetan, emas menjadi satu bentuk pelaburan lebih menarik kerana dianggap selamat dan bernilai tinggi.

Ekonomi Asia yang masih lagi merasai keperitan kesan kemelesetan ekonomi global pada 2008 mungkin terpaksa bergelut dengan situasi yang lebih teruk daripada tiga tahun lalu, menurut penganalisis serantau.

Kebimbangan akan berlaku kemelesetan ekonomi sekali lagi semakin memuncak selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan buat kali pertama dan pasaran menjunam seperti yang dijangkakan.

Itali dan Sepanyol pula dijangka akan 'menyertai' negara-negara Eropah yang lain bagi mencari bantuan kewangan.

''Pada 2008, hutang lapuk di bank-bank merupakan masalah utamanya.

''Kerajaan-kerajaan berhutang dengan bank-bank dan berbelanja banyak wang untuk ekonomi dan sekarang mereka terpaksa menanggungnya.

''Sebab itu keadaan semakin teruk berbanding sebelum ini dan tiada siapa dapat menolong mengatasinya,'' menurut Bank DBS.

Perbelanjaan rangsangan semasa krisis 2008 oleh sembilan ekonomi Asia Timur termasuk China dan Jepun ekoran bergantung kepada permintaan AS dan Eropah berjumlah AS$1.3 trilion (RM3.9 trilion), menurut anggaran Bank Pembangunan Asia.

Rizab Persekutuan AS telah menyuntik lebih AS$1 trilion dolar dalam ekonomi selepas krisis 2008 dan menambah lebih AS$600 bilion (RM1.8 trilion) pada 2010.

Rizab Singapura negara terkaya di Asia susut buat kali pertama 2009 apabila ekonomi negara itu mengalami kemelesetan teruk sejak kemerdekaan, sebelum kembali kukuh dan berkembang sebanyak 14.5 peratus pada 2010.

Kejatuhan pasaran saham Asia Isnin lalu menyebabkan Singapura menyemak semula pertumbuhan ekonomi 2011 daripada lima hingga tujuh peratus kepada lima hingga enam peratus disebabkan ketidaktentuan dalam unjuran global.

Standard & Poor pula berkata, kapasiti fiskal bagi Jepun, India, Malaysia, Taiwan dan New Zealand telah merosot kepada tahap pra 2008.

''Sekiranya keadaan semakin terjejas, ia boleh menyebabkan impak lebih teruk berbanding sebelum ini,'' kata agensi itu.

Sistem kewangan serantau mungkin berhadapan dengan pengurangan kecairan dan meningkatkan risiko pembiayaan semula dalam tempoh sederhana memandangkan kos pinjaman bertambah.

Asia akan mengalami kesan pelbagai tahap memandangkan kerajaan-kerajaan dipaksa untuk menggunakan imbangan kira-kira bagi menyokong sektor kewangan, tambah S&P.

''Implikasi bagi kebolehpercayaan berdaulat di Asia Pasifik akan menjadi negatif berbanding pengalaman sebelumnya dan lebih banyak tindakan penarafan negatif akan mengikut,'' katanya.

DBS berkata, apabila para pelabur mula 'menghidu' kerajaan-kerajaan juga berada dalam situasi kekangan seperti mereka, emas mula menjadi lebih menarik.

''Dan kesan kepada ekonomi sebenar, seperti 2008/09, boleh menjadi dramatik,'' tambahnya.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas masih mengekalkan pendapatnya bahawa bank-bank pusat di rantau ini bersedia untuk berhadapan dengan krisis lain, hasil pengalaman 2008.

Menurut beliau, bank-bank pusat di rantau ini telah membangunkan mekanisme sokongan lebih kuat untuk memastikan kestabilan sistem kewangan dan peruntukan sokongan instrumen kecairan dalam institusi-institusi kewangan.

''Kali ini, mekanisme masih digunakan dan bank-bank pusat lebih banyak pengalaman untuk menangani masalah berkaitan kecairan dalam sistem kewangan mereka,'' tambah Biswas.

Pengukuhan berterusan ekonomi China dan Jepun boleh mengekang kesan krisis hutang di AS dan Eropah kepada Asia, ujarnya.

- AFP

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.