Kaunseling Di Tempat Kerja Perlu Diwajibkan
Ketua Sekolah Perubatan Klinikal Monash University Sunway Johor Baharu, Prof Dr Rusli Nordin berkata tahap kesihatan mental di Malaysia semakin buruk.
"Pekerja kini semakin tertekan dan ini membawa ke arah kerisauan, kemurungan dan juga bunuh diri," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata tekanan di tempat kerja hari ini lebih membebankan berbanding satu atau dua dekad lepas.
Dr Rusli, yang juga seorang profesor Kesihatan Awam dalam Perubatan Pekerjaan, berkata satu bengkel dua hari peringkat Asia Pasifik mengenai Faktor Psikososial anjuran fakulti berkenaan baru-baru ini mencadangkan kaunseling di tempat kerja dikawal selia di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
"Kaunseling di tempat kerja perlu, dan sepatutnya dijadikan mandatori. Inilah sebab mengapa kita memperkenalkan kaunseling di tempat kerja sebagai sebahagian Program Bantuan Pekerja (EAP) di bawah OSHA 1994," katanya.
Terdapat 40,000 industri di negara tertakluk di bawah OSHA.
Sementara itu, Mai Sumiyatilshak, seorang pensyarah kanan dan ahli psikologi industri di Universiti Malaysia Sarawak mencadangkan satu Rangka Kerja Kurikulum Psikologi perlu diperkenalkan sebagai satu kursus psikologi di fakulti perubatan dan bukannya di fakulti sains kemanusiaan.
"Kita perlu kursus-kursus psikologi ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains dan bukannya Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan kerana para pelajar perlu di latih di makmal-makmal dan mengendalikan latihan amali dengan pesakit," katanya.
Sejumlah 30 peserta dari Australia, Jepun dan Malaysia menyertai bengkel itu.
- BERNAMA
Minta izin berkongsi maklumat untuk disiarkan dalam blog saya. terima kasih :)