Simulator Automatif - Bimbing pemandu jadi berhemah

PEMBELAJARAN pemanduan kenderaan lazimnya menjadi berkesan apabila pelajar-pelajar dapat merasai suasana sebenar memandu di atas jalan raya.

Bagaimanapun, faktor masa dan keselamatan boleh menjadi penghalang jika sesi pembelajaran itu perlu dilakukan berulang kali di jalan raya.

Menyedari kepentingan ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama S&V Innovations Sdn Bhd. (SVI) telah membangunkan Simulator Automotif Untuk Analisa Kelakuan dan Kecekapan Pemandu (ASIS) untuk memastikan bakal pemilik lesen kereta dapat merasai pengalaman memandu tanpa perlu berada di atas jalan raya.

Pengarah Urusan SVI, Jini Wat, berkata, inovasi ASIS dapat digunakan untuk memperkenalkan asas-asas memandu kereta kepada mereka yang berhasrat mendapatkan lesen memandu dengan mudah dan selamat.

“Ia merupakan sebuah simulator yang boleh digunakan untuk melatih dan menganalisis kecekapan serta kelakuan pemanduan para pemandu.

“Simulator ini juga dapat digunakan sebagai medium untuk latihan permulaan dan penyesuaian memandu sebelum pelajar merasai pengalaman praktikal memandu di jalan raya,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain daripada itu, Jini menambah, inovasi tersebut dapat memainkan peranan sebagai alat bantuan bagi melaksanakan kajian mengenai interaksi dan reaksi pemandu di dalam sesebuah simulator.

Katanya, antara kajian yang boleh dilaksanakan apabila menggunakan simulator itu adalah pemerhatian pola pemanduan antara jantina, cara pemanduan berbahaya dan reaksi pemandu terhadap stimulus atau rangsangan yang perlu dihadapi ketika memandu seperti berhadapan dengan pembuli jalan raya.

“Simulator ASIS bukan sahaja dibangunkan dengan kerjasama kepakaran dari UKM malah telah mendapat geran dari pihak Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di bawah skim CRDF3.

“Dengan dana tersebut, SVI telah berjaya menghasilkan dua versi simulator iaitu ASIS-LM dan ASIS-HM,” jelasnya.

Jini menambah, dalam penghasilan perisian modul pembelajaran ASIS, beberapa pihak turut memberi input positif agar ia dapat disesuaikan dalam pasaran tempatan.

Katanya, Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) banyak memberi input kepada mereka untuk memastikan ASIS dapat beroperasi dengan lebih berkesan.

“Kita juga sentiasa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar inovasi ini dapat digunakan di semua sekolah-sekolah memandu,” ujarnya.

Kelebihan ASIS

Sementara itu, Pengarah Jualannya, Bahtiar Affendi Ishak, memberitahu, ASIS merupakan produk tempatan yang dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan.

“Selain penyelidikan dan pembangunan, bahan yang digunakan juga adalah daripada bahan tempatan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.

“Kita juga mendapati ASIS merupakan inovasi yang setanding produk simulator yang telah berada dalam pasaran. Ini berdasarkan kemampuan ASIS yang memiliki bahagian-bahagian asas seperti yang dimiliki model saingannya,” ujar Bahtiar.

Komponen yang dimaksudkan itu adalah seperti penghasilan suasana memandu dalam simulator tiga dimensi (3D), kokpit menyerupai kenderaan sebenar dan peranti dalaman seperti gear, klac, brek, stereng dan sebagainya yang menyamai fizikal dalaman sesebuah kereta.

Katanya, dua model yang dibangunkan mempunyai kelebihan tersendiri kerana ASIS-LM didatangkan bersama kerangka logam dan ciri-ciri menarik.

“Disebabkan model ASIS-LM menggunakan kerangka logam, ia lebih mudah dipindahkan malah dapat digunakan dalam kelas memandu kerana bakal pemilik lesen kereta akan dapat melihat kesemua komponen kereta dengan lebih jelas.

“Bagi model ASIS-HM pula, ia dibangunkan dengan gentian kaca dan mempunyai ciri-ciri lebih lengkap seumpama memandu dalam kereta sebenar,” katanya.

Pengurus Projek ASIS, Mohamad Hanif Md. Saad berkata, kelebihan inovasi itu adalah ia dilengkapi dengan beberapa modul tambahan yang tidak dimiliki simulator lain di pasaran.

“Antara kelebihan-kelebihan itu adalah modul pendidikan interaktif untuk pengecaman bahaya dan modul Qualifying Test at the Institute (Q.T.I) atau ujian prakelayakan untuk pemerolehan Lesen Kelas B seperti memandu menaiki bukit, parkir tepi dan three side point.

“Ia juga dilengkapi modul asas pengenalan komponen memandu kenderaan iaitu penggunaan gear, brek tangan, klac, brek kaki, stereng dan tali pinggang keledar,” jelasnya.

Modul penjagaan

Mohamad Hanif menambah, mereka yang menggunakan inovasi berkenaan turut dapat menimba pengalaman berfaedah kerana terdapat modul penjagaan kenderaan dan kecekapan jalan raya.

Bagi memudahkan lagi pemilik simulator tersebut, ia boleh dihubungkan kepada pusat rangkaian dan ditadbir seperti sebuah kafe siber. Konsep tersebut dinamakan sebagai kelas memandu alam maya (virtual driving school).

“Kami telah membangunkan inovasi ini sejak dua tahun lalu tetapi asas penyelidikannya telah dilakukan sejak tahun 2003.

“Dengan adanya inovasi terbaharu ini, kita berharap ia dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dan memberi kesedaran kepada bakal pemilik lesen kereta mengenai kepentingan pemanduan berhemah,” katanya.

Jini menambah, pihaknya juga bercadang untuk memasarkan produk berkenaan sehingga ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.

Menurutnya, ia merupakan produk yang dapat menguntungkan semua pihak apatah lagi apabila pembangunannya menggunakan teknologi, sumber tenaga dan bahan tempatan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dua inovasi ASIS boleh melayari laman web www.svi.com.my

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url