Lebih 6,000 belum tuntut MyKad

Seramai 6,323 orang penduduk yang berumur 14 hingga 57 tahun masih tidak menuntut MyKad di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh Malaysia.

Menurut Pegawai Perhubungan JPN, Jainisah Mohd. Noor, jumlah MyKad yang tidak dituntut itu merangkumi pemohon yang menukar alamat tempat tinggal, kad pengenalan baharu serta yang hilang atau dokumen berkenaan musnah.

"Kita berharap pemohon dapat menuntut kad pengenalan mereka dengan segera sebelum notis denda dikeluarkan.

"Mereka juga perlu ingat sekiranya ingin memohon semula kad pengenalan baharu, denda akan dikenakan kerana sistem kita akan mengesan rekod mereka yang gagal menuntut kad terdahulu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Jainisah, kebanyakan pemohon yang gagal menuntut MyKad itu disebabkan faktor usia tua, terlupa, sibuk bekerja dan mereka terdiri daripada golongan warga emas.

Katanya, mereka yang sengaja memandang remeh soal tuntutan kad pengenalan itu turut berhadapan denda dengan nilai yang lebih tinggi selain disoal siasat oleh JPN jika melibatkan kes berulang.

Setakat ini, jelas beliau, pihaknya mengambil pendekatan menghantar surat makluman dan menelefon pemohon untuk memaklumkan tentang perkembangan permohonan mereka serta mengingatkan pemohon perlu ke JPN untuk mengambil MyKad.

"Sekiranya tidak mampu berbuat demikian atas alasan uzur mahupun masalah lain, pihak ketiga perlu membawa bersama surat kebenaran pemohon bagi mengelakkan perkara berbangkit," katanya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url