Manchester United Juara Perisai Komuniti 2011
Ketika perlawanan seolah-olah bakal ditentukan menerusi sepakan penalti, Nani muncul hero United dengan ledakan jaringan kemenangan pada minit ke-94.
Pemain sayap Portugal itu turut menyumbangkan gol kedua United.
Nani menghukum kelalaian ketua pasukan City, Vincent Kompany di tengah padang sebelum membawa bola dengan pantas ke gawang lawan, memperdaya penjaga golnya, Joe Hart dan menolak masuk untuk memberi kemenangan kepada pasukannya, sekali gus melaungkan amaran awal kepada pencabarnya musim ini.
Meskipun menguasai permainan sejak sepak mula, United terlebih dahulu tersentak dengan jaringan pembukaan City menerusi tandukan cantik Joleon Lescott pada minit ke-38 selepas menerima umpanan David Silva hasil sepakan percuma dari luar kotak.
Penyerang Bosnia, Edin Dzeko menggandakan kedudukan City sebelum rehat dengan rembatan rendah kencang menewaskan penjaga gol baru United, David De Gea buat kali kedua dalam tempoh tujuh minit.
Jika De Gea boleh dimaafkan untuk gol pertama kerana tidak mampu berbuat apa-apa, gol kedua sememangnya berpunca daripada respons lambatnya dan dia tidak sepatutnya ditewaskan dari jarak itu.
Sekiranya City menyangka mereka sudah selesa, mereka silap. Babak kedua jelas berat sebelah memihak kepada United. Kemasukan Tom Cleverly, Johnny Evans dan pemain pertahanan baru, Phil Jones menggantikan Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Michael Carrick nyata mengubah rentak United.
Juara Liga Perdana itu tidak menunggu lama untuk merapatkan kedudukan apabila gol yang dicari-cari itu muncul pada minit ke-52 menerusi Chris Smalling yang menyudahkan hantaran cantik hasil sepakan percuma Ashley Young dengan sepakan voli dari jarak dekat.
Selang lima minit kemudian, gol penyamaan muncul dengan rangkaian serangan United yang dikemudi Wayne Rooney memberikan pengajaran berguna kepada barisan pertahanan City.
Gandingan Rooney, Cleverly dan Nani bertukar empat hantaran pendek dalam kotak penalti yang dikawal ketat sebelum Nani menyudahkan dengan sepakan lambung menewaskan Hart di sebelah kanan gawang.
Keputusan Ferguson meninggalkan penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov di bangku simpanan dan menggandingkan Danny Welbeck dengan Rooney di bahagian serangan membuahkan hasil apabila penyerang skuad Bawah 21 England itu mempamerkan aksi meyakinkan.
Welbeck juga membuktikan keputusan Fabio Capello memanggilnya ke skuad England semalam sebagai tepat.
United telah membuktikan keunggulannya dalam perlawanan ini sementara City yang walaupun disokong dengan sumber kewangan tidak terhad, masih perlu bekerja keras sekiranya berhasrat merapatkan jurang dengan musuh sejirannya.
Statistik perlawanan menceritakan segala-galanya, United dengan 56 peratus penguasaan bola serta 21 cubaan berbanding City dengan hanya lapan.
- AGENSI