Ubah diskriminasi gender
Ada yang selesa bekerja di bawah ketua lelaki kerana andaian lelaki lebih tegas dan tidak beremosi malah ada juga memberikan pendapat sebaliknya.
Pada April 2010, satu kaji selidik Dartmouth oleh pelajar jurusan sarjana mengenai Strategi Untuk Wanita Melayari Landskap Korporat Baru mendapati, 90 peratus pelajar wanita mengakui suka bekerja di bawah pengurus lelaki. Malah, uji kaji yang dijalankan ForbesWoman di facebook dan LinkedIn juga menunjukkan keputusan yang sama.
Persoalannya, adakah benar kebanyakan wanita lebih suka bekerja di bawah pengendalian bos lelaki? Apakah ciri-ciri lelaki yang menyebabkan mereka dikatakan lebih bagus berbanding wanita walaupun realitinya wanita lebih berkeupayaan memegang jawatan penting dalam syarikat. Malah di kebanyakan negara, mereka diangkat sebagai orang penting bagi melaksanakan sesuatu rancangan.
Langkah kerajaan mengumumkan supaya 30 peratus daripada jawatan korporat terpenting harus dipegang wanita bagi mencapai kesaksamaan gender 2016 adalah satu cadangan yang harus dipuji bagi mengurangkan jurang perbezaan jantina dalam syarikat.
Dalam satu perdebatan bertajuk Wanita Lebih Baik Menjadi Ketua yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Wanita 2011 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur 25 Julai lalu, setiap ahli panel memberikan pelbagai hujah bagi menyokong atau membangkang topik diberikan.
Pensyarah dan pakar urologi Universiti Monash Sunway, Dr George Lee Eng Geap yang berasal dari Kelantan memberitahu, ia perkara biasa melihat wanita Kelantan bekerja dan menjadi ketua keluarga manakala lelaki bermain wau atau terbabit dengan aktiviti dikir barat dan pada masa sama, menjaga anak.
“Ini tidak bermakna lelaki Kelantan malas, tetapi ia lebih kepada budaya yang boleh diterima masyarakat apabila wanita keluar mencari wang. Tiada isu mengenai wanita sebagai ketua,” katanya yang mengakui wanita Kelantan mempunyai ciri-ciri pengendali wang yang baik serta mempunyai sikap positif dalam pekerjaan.
Menurut Dr Lee, lelaki dan wanita mempunyai ciri-ciri kepimpinan berbeza. Apa yang membuat wanita menonjol adalah keghairahan mereka bekerja walaupun lelaki dikatakan memiliki sifat dominan dan dinamik, namun apabila timbul krisis mereka cenderung melarikan diri daripadanya.
“Sebagai pakar urologi, saya seperti pakar sakit puan lelaki. Saya mempunyai pesakit lelaki yang menafikan apabila diberitahu mengenai masalah kesihatan mereka. Reaksi tipikal mereka akan lari daripada masalah ini.
“Mereka seolah-olah mendengar apa yang dikatakan, tetapi semua nasihat itu tidak akan kekal dan dilaksanakan. Berbeza dengan wanita kerana mereka akan merawat penyakit dan menangani krisis dengan baik. Mereka tidak mudah berputus asa dan menjadi pendengar yang baik dan inovatif dalam semua perkara,” ujarnya.
Dr Lee mengakui, walaupun lelaki gemar mengambil risiko, mereka tidak melihatnya sebagai sesuatu yang baik. Ini kerana apa yang dilakukan lelaki sukar dijangka walaupun ada kalanya memecah tradisi, namun akhirnya akan memberi kesan kepada diri mereka sendiri.
“Walaupun wanita dikatakan mempunyai pelbagai kebolehan, lelaki boleh menjadi seperti itu asalkan mampu mengimbangi antara keluarga dan kerjaya,” ujarnya.
Tambahnya, wanita sering menerima label sebagai terlalu emosi dan hanya sesuai melakukan kerja rumah saja. Ada juga mengatakan wanita akan berasa terancam apabila melihat ada lagi yang lebih baik daripada mereka. Namun dalam hal ini, ia tidak menjurus kepada wanita saja kerana lelaki juga menghadapi masalah sama.
“Ramai yang tidak sedar label yang diberikan kepada wanita boleh juga digunakan untuk lelaki. Sebagai contoh, lelaki juga berasa terancam melihat orang lain lebih baik dan menarik daripada mereka,” katanya.
Justeru, menurutnya, sewajarnya kedudukan teratas dalam syarikat perlu diberi kepada individu berdasarkan merit dan bukannya gender. Selain itu media juga tidak harus memaparkan pencapaian wanita sebagai sesuatu yang luar biasa kerana akan menampakkan pencapaian mereka lebih rendah daripada lelaki. Sama seperti sistem kuota dalam dunia pekerjaan atau pendidikan.
“Wanita sama dengan lelaki dalam dunia pekerjaan. Saya tidak faham mengapa perlu ada mana-mana kuota yang diberikan kepada mana-mana jantina, sekiranya mereka mampu melakukan tugas dengan baik, seharusnya jawatan itu diberikan kepada individu itu,” katanya yang berharap diskriminasi gender di tempat kerja tidak lagi dipakai pada hari ini.
Pakar Perunding Kanak-kanak, Datin Dr Low Pek See, mempunyai pandangan berbeza mengenai kemampuan wanita menerajui sesebuah organisasi.
Menurutnya, wanita dan lelaki mempunyai fisiologi berbeza, oleh sebab itu dalam hal tertentu lelaki lebih baik menjadi ketua berbanding wanita.
Dalam nada bimbang, Dr Low memberitahu, pandangannya ini mungkin akan mencetuskan reaksi negatif daripada wanita lain.
“Saya akui wanita adalah pelaksana tugas yang baik sama ada di rumah mahupun di pejabat. Namun tugas utama seharusnya diberikan kepada lelaki kerana mereka sangat fokus melakukan kerja. Sebaliknya, wanita sering dibimbangi dengan masalah rumah tangga seperti anak, suami serta tugas di rumah. Jadi dengan begitu banyak komitmen dikhuatiri mereka tidak mampu memberikan 100 peratus tumpuan di tempat kerja,” katanya.
Satu lagi perkara yang boleh membuat wanita kurang berkesan sebagai ketua adalah tabiat membandingkan dirinya dengan wanita lain. Ini boleh membawa kepada persaingan yang kurang sihat.
Akibatnya mereka leka dengan tugas, sering bergosip atau cemburu sehingga berlaku pertelingkahan yang membawa kepada persekitaran tidak sihat.
“Saya tidak menafikan terdapat ketua wanita yang takut dengan wanita yang lebih cantik, lebih bijak dan mampu menjalankan tugas dengan baik. Ini mungkin memberi kesan kepada kualiti dalam bidang pekerjaan,” ujarnya sambil menambah, wanita cenderung untuk mengambil serius mengenai hal peribadi.
Sebagai seorang ibu bukanlah perkara yang buruk kepada seorang wanita namun sering kali isu mengenai anak dan rumah tangga dibawa ke tempat kerja, begitu juga wanita yang cuti bersalin.
Sebagai ketua, wanita kadang-kadang boleh menjadi musuh kepada diri mereka sendiri manakala lelaki lebih tenang dan bersahaja.
“Wanita harus menerima diri mereka seadanya supaya mereka dapat menggunakan setiap kelebihan dan kelemahan yang ada pada diri. Dalam sesetengah industri seperti perubatan, fesyen atau hiburan, wanita boleh menjadi pemimpin yang baik manakala bidang teknologi maklumat, automotif dan kejuruteraan lelaki adalah pelopor terbaik.
“Namun sekiranya wanita diberi peluang dan bantuan untuk menguruskan kehidupan peribadi, mendapat sokongan keluarga serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk wanita di tempat kerja, tidak mustahil mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Ini kerana mereka bukan hanya menjalankan kerja di rumah tetapi menjadi ibu dan ketua yang berkesan di tempat kerja,” nyatanya.
Dr Low percaya, wanita dalam lewat 40-an berupaya menjadi ketua yang lebih baik kerana mereka akan lebih berpengalaman. Justeru, jika wanita ingin maju dalam kerjaya dan menjadi ketua pada usia ini, mereka harus mempunyai anak pada usia yang lebih awal.
“Sebagai contoh, jika mereka mempunyai anak-anak yang berusia 20-an mereka akan dapat memberi tumpuan kepada kerja ketika usia berganjak 40 tahun. Ini kerana anak-anak mereka sudah mampu berdikari serta mempunyai perancangan masa depan sendiri,” katanya.
Mengenai sama ada Dr Low melihat dirinya berupaya menjadi ketua pada masa akan datang, dia berkata, Ya, sudah tentu. Saya juga berazam untuk menjadi bos dan akan cuba menjadi ketua terbaik.”
Bagi peguam Karen Abraham, seseorang itu harus mengetahui definisi bos itu sendiri sebelum membuat penilaian sama ada lelaki atau wanita lebih baik menjadi ketua.
Diakui wanita mempunyai kebijaksanaan emosi (EQ) yang lebih baik berbanding lelaki. Ini bermaksud mereka mampu menangani masalah secara lebih berhemah dan positif terutama daripada segi perhubungan sesama manusia.
“Cara seseorang mengawal emosi adalah sangat penting berbanding kebijaksanaan fikiran (IQ) kerana emosi membuatkan seseorang itu mampu menangani tekanan serta mempunyai budi bicara yang baik apabila berurusan dengan manusia terutama pekerja bawahan,” katanya.
Pendapat ini turut dipersetujui Pengarah Global English, Hamidah Ibrahim yang mengakui wanita lebih bijak menangani emosi dan tekanan kerana mereka setiap hari dibebani tugas yang banyak sama ada di rumah dan di tempat kerja. Tetapi lelaki hanya mampu melakukan tugas pejabat saja yang biasanya diuruskan setiausaha peribadi mereka iaitu wanita.
Perdebatan ini turut disertai ahli panel lain termasuk peguam daripada Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, Thavalingam C Thavarajah; Ketua Serantau Kumpulan Airasia, Adzhar Ibrahim dan Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Tan Sri Datuk Dr Rafiah Salim sebagai penyelaras program.
- HARIAN METRO