Golongan Muda Diseru Ceburi Bidang Agro Makanan
Beliau berkata pembabitan golongan itu perlu sebagai pelapis kepada petani sedia ada bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan dan mempunyai kesinambungan.
"Jika tidak ada kesinambungan aktiviti pertanian, terutamanya dalam bidang agro makanan seperti buah-buahan serta sayur-sayuran, bekalan akan berkurangan sekaligus menimbulkan masalah apabila pada masa yang sama, jumlah penduduk sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.
"Begitu juga dengan masalah tanah yang semakin berkurangan kerana ramai pemilik tanah memilih untuk terbabit dalam penanaman kelapa sawit misalnya, atau menukar status tanah untuk pembinaan rumah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penuaian Rock Melon Usahawan Tani Siswazah di Klang, Selangor.
Noh berkata terdapat 298,000 hektar tanah di negara ini yang terbabit dalam aktiviti agro makanan, dan dijangka berkurangan sehingga 8,000 hektar dalam tempoh lima tahun.
Katanya, golongan muda yang berminat boleh mendapatkan pinjaman modal perniagaan sehingga RM50,000 melalui Agro Bank atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) tanpa penjamin.
Noh turut mengambil contoh Irfahmi Md Saad, 29, anak jati Kapar dan graduan perakaunan dari Dublin Business School yang memilih untuk berhenti kerja serta menceburkan diri sebagai usahawan tani rock melon.
"Kita mahu anak muda seperti ini terbabit dalam bidang agro makanan kerana mempunyai ilmu serta jalinan untuk meluaskan perniagaan sehingga ke luar negara," katanya.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan pinjaman RM10,000 kepada Irfahmi bagi membantu anak muda tersebut mengusahakan ladang.
- BERNAMA