Had Umur Persaraan Baru Dari 58 Kepada 60 Perlu Kajian Lanjut - JPA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, ini kerana JPA harus mengambil kira kesannya terhadap tenaga kerja baru, terutama pelajar tajaannya yang akan menamatkan pengajian.
"JPA banyak membuat tajaan kepada penuntut yang cemerlang daripada semasa ke semasa dan pada masa yang sama kita juga mengusahakan semua pelajar terbabit memperolehi pekerjaan, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta," katanya kepada Bernama, di sini.
Abu Bakar diminta mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang antara lain berpandangan 'orang lama' boleh menyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian bersandarkan pengalaman mereka.
Mengulas lanjut, Abu Bakar yang secara peribadinya bersetuju dengan cadangan itu, berkata di negara maju umur persaraan penjawat awam adalah antara 60 dan 65 tahun.
"Kita bersara pada umur 58 tahun adalah lebih kurang sama macam Bangladesh dan negara yang penjawat awamnya bersara pada umur 58 semakin kurang.
"Jika berdasarkan kepada standard dan tahap kesihatan kita, patut bersara pada umur 60 tahun. Ini yang dikatakan negara membangun dengan maju," katanya.
Bagaimanapun katanya, jika cadangan itu dilaksanakan, penjawat awam akan diberi pilihan sama ada untuk bersara pada umur 58 atau 60 tahun.
"Sesiapa yang nak kerja sehingga umur 60 tahun, mereka boleh terima opsyen tersebut, dan kalau nak bersara pada umur 58 pun boleh, tidak ada paksaan," katanya.
- BERNAMA