Hati-hati beli kereta terpakai - JPJ
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan berkata, kereta potong bukan sahaja berbahaya kepada pemiliknya tetapi turut berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya dikesan penguat kuasa JPJ.
Menurutnya, kenderaan potong tidak selamat kerana struktur kenderaan yang tidak stabil akan mendedahkan pemandu serta penumpangnya kepada bahaya sekiranya berlaku kemalangan.
"Apabila kereta dipotong, pusat gravitinya akan terjejas dan keseluruhan rangka kenderaan akan menjadi tidak stabil dan berkemungkinan akan terputus apabila berlaku kemalangan, melalui jalan tidak rata ataupun memandu laju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Program Pengarah JPJ Bertemu Pelanggan di Puspakom Alor Gajah di sini, hari ini.
Turut serta pada program tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Turut serta, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Pos Malaysia Berhad, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Puspakom.
Sehubungan itu, Mohd. Fadhil menasihatkan orang ramai yang ingin membeli kereta terpakai supaya mendapat khidmat nasihat daripada JPJ dan Puspakom terlebih dahulu.
Beliau berkata, JPJ menawarkan khidmat pemeriksaan kenderaan secara percuma bagi membolehkan orang ramai dan bakal pembeli kenderaan terpakai menjalankan pemeriksaan atau mendapatkan khidmat nasihat pakar.
Beliau berkata, program itu disifatkan sebagai 'serampang dua mata' kerana orang ramai yang berurusan dengan Puspakom juga boleh bertemu dengan JPJ dan agensi lain bagi mendapatkan maklumat atau khidmat nasihat.
"Kebanyakan orang yang berurusan dengan Puspakom adalah orang yang sama berurusan dengan pihak JPJ dan melalui program ini, orang ramai dapat bertemu kedua-dua agensi ini secara serentak," katanya.
- UTUSAN
