Hospital UIAM Akan Beroperasi 2015

PUTRAJAYA: Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - hospital pertama yang dibina melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2015.

Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), Raja Datuk Seri Aman Raja Ahmad berkata projek bernilai RM412.6 juta itu yang akan dibina di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang akan memulakan pembinaannya awal tahun depan.

"Hospital Pengajar UIAM ini mempunyai kapasiti untuk menampung 300 katil pesakit dengan keupayaan mengajar bagi 735 mahasiswa," katanya pada majlis menandatangani perjanjian konsesi hospital pengajar tersebut antara Kementerian Pengajian Tinggi, UIAM dan Peninsular Medical Sdn Bhd (PMSB) di sini.

PSMB yang merupakan anak syarikat AZRB adalah syarikat yang diberi konsesi pembinaan dan pengurusan hospital tersebut selama 25 tahun.

Majlis itu turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Raja Aman berkata, melalui konsep PFI itu, kos pembangunan hospital akan didahului pembiayaannya oleh Kumpulan AZRB.

Beliau berkata, kerajaan pula akan mendapatkan manfaat dari aspek nilai untuk wang memandangkan kos pembangunan itu akan dibayar balik secara berkala kerajaan dalam tempoh 21 tahun setengah.

Katanya, pihak beliau juga akan bertanggungjawab dari segi aspek penyelenggaraan dan penggantian aset secara berjadual sepanjang tempoh konsesi tersebut.

"Manfaat utama adalah penduduk di Kuantan dan Pahang yang akan mendapat perkhidmatan perubatan yang moden dan terkini pada kos yang tidak membebankan.

"Bagi mahasiswa perubatan UIAM, mereka akan mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dalam persekitaran yang kondusif," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Unknown
    Unknown Khamis, 22 September 2011 pada 8:17:00 PG SGT

    lama lagi...

Add Comment
comment url