Syarikat Telekomunikasi Tangguh Laksana Caj 6 % Telefon Prabayar

Syarikat-syarikat telekomunikasi pada Isnin bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual dikuatkuasakan Khamis ini (15 September 2011).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian itu di pejabatnya di Angkasapuri di sini.

"Setelah mengadakan perundingan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi utama yang terlibat dengan isu cukai perkhidmatan, kesemuanya telah bersetuju supaya cukai perkhidmatan enam peratus yang akan dikenakan kepada pengguna ditangguhkan dan tidak lagi dikuatkuasakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Perbincangan melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile berlangsung dalam suasana cukup baik, mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas perbincangan kira-kira sejam bersama wakil pengurusan tertinggi syarikat telekomunikasi itu.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Datuk Shazalli Ramly, CEO Kumpulan Digi Henrik Clausen, CEO Kumpulan Maxis Sandip Das dan CEO U Mobile Dr Kaizad Heerjee.

Rais berkata penangguhan itu bagi membolehkan kajian semula dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menentukan bila perkhidmatan itu wajar dikenakan cukai serta kadar yang boleh dikenakan.

"Saya rasa lega bahawa mereka bersetuju untuk menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti bila waktu terbaik bagi pengenaan cukai perkhidmatan dilaksanakan dan di paras mana pengguna perlu membayar sama ada pada ketika membeli kad prabayar pertama atau pada setiap kali membaharuinya," katanya.

Menurutnya semua perkara yang dibangkitkan itu akan dibawa kepada mesyuarat kabinet akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap isu cukai perkhidmatan itu tidak dibangkitkan lagi kerana syarikat telekomunikasi berkenaan sudah menangguhkan pelaksanaan caj itu.

Rais berkata bagi menghargai syarikat telekomunikasi yang membayar RM6 bilion melalui hasil cukai perkhidmatan kepada kerajaan sejak 1998 serta peranannya dalam memberikan perkhidmatan telekomunikasi kepada hampir 26 juta pengguna telefon prabayar di negara ini, beliau akan menyarankan agar kerajaan memberikan penghargaan atas sumbangan tersebut.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 13 September 2011 pada 12:46:00 PTG SGT

    salam...saya mahu tanya...knp hidup ni banyak sangat cukai???cukai itu dan ini....saya mmg pelajaran rendah...tp...rakyat di luar masih lg ada y miskin...mcm saya dlm akhbar ckap naik gaji bulan 7 lg..tp skrg pun xnaek2 pun???walaupun 6% cukai topup...cukai laen juga???mane lh kami nk tempuh sara hidup y tinggi ni???terutama kami yang bgaji bawah rm1000....ni pun sy blum khwin...agak2 y dah ada anak/bini???

Add Comment
comment url