Tiada cadangan panjangkan tempoh kursus perkahwinan - JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat penambahbaikan kursus perkahwinan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri tetapi tidak bercadang memanjangkan tempoh kursus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jakim akan bertindak sebagai urusetia memberi bantuan dari segi penambahbaikan modul kursus serta mengurangkan modul yang tidak diperlukan.

"Tempoh kursus pra-perkahwinan yang sedia ada selama 16 jam...terpaksa menjalani kursus selama dua hari. Kalau kita panjangkan lagi ia agak membebankan pasangan yang hendak berkahwin.

"Tentang kursus dari semasa ke semasa, kita serahkan kepada negeri masing-masing untuk penambahbaikan tetapi diurusetia oleh Jakim," katanya.

Beliau mengulas laporan media bahawa lebih 200,000 pasangan suami isteri Islam Malaysia dilaporkan mendaftarkan perceraian mereka di pejabat jabatan agama Islam di seluruh negara bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Jamil Khir berkata angka 200,000 itu merangkumi tempoh perkahwinan antara 30 hingga 40 tahun dan terdapat juga yang berakhir dengan perdamaian.

"Ada yang tarik balik kes, dia bercerai rujuk semula, ada yang kes orang yang dah bercerai tetapi kahwin semula dan jumlah itu merangkumi tahun 2000 hingga 2010 sebanyak 200,000 kes termasuk bukan sahaja yang daftar kahwin pada tahun itu, tetapi juga kahwin dari tempoh yang lama. Jumlah ini bukan serius," katanya.

Jamil Khir berkata kursus perkahwinan bertujuan memberi kefahaman tambahan kepada masyarakat tentang tatacara perkahwinan sebenar dan mengikut syarak.

"Ia untuk memahami juga bagaimana nak uruskan kehidupan rumah tangga bila kahwin...dalam masa yang sama juga untuk mengetahui cara laporkan apabila berlaku pergaduhan, ataupun konflik dalam rumah tangga," katanya.

Beliau berkata faktor yang merupakan penyumbang paling besar kepada keretakan rumahtangga ialah tekanan ekonomi di samping tidak mempunyai perancangan rapi dalam membina sebuah rumah tangga bahagia.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url