Persoalan Agama: Perlu tunai haji sebelum lakukan untuk orang lain

SOALAN:

BAGAIMANA hendak melaksanakan upah haji ibu yang meninggal dunia sedangkan saya sendiri baru hendak menunaikan ibadat itu buat kali pertama. Bolehkah dilaksanakan dua niat haji, untuk saya dan ibu pada satu musim haji. Mana yang lebih baik, haji untuk ibu dilakukan oleh anak lelaki atau anak perempuan. Arwah ibu pernah berpesan ditunaikan haji buatnya jika dia meninggal dunia dan tidak sempat melaksanakan ibadat itu.

JAWAPAN:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Allah SWT berfirman: Dan sempurnakan ibadat haji dan umrah kerana Allah.

Haji satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang cukup syarat. Majoriti ulama (kecuali mazhab Malik) membenarkan tunai haji buat ibu bapa atau orang lain jika orang yang hendak dilaksanakan upah haji dalam keadaan uzur atau meninggal dunia.

Mazhab Imam Malik hanya membenarkan upah haji orang yang meninggal dunia kalau ada wasiat. Itupun dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan daripada harta yang ditinggalkannya tidak melebihi sepertiga. Selanjutnya, walaupun dinilai sah, pada masa sama perkara ini dinilai mazhab itu sebagai makruh.

Pandangan ini berbeza dengan Imam as-Syafii yang mewajibkan seorang waris menghajikan orang yang meninggal dunia dan membayar hutangnya daripada harta yang ditinggalkannya. Memang tidak menjadi kewajipan sekiranya orang yang bersangkutan itu tidak meninggalkan harta warisan, tetapi sah dia dihajikan oleh sesiapa pun walaupun si mati tidak berpesan. Demikianlah pandangan Imam as-Syafii.

Satu syarat bagi orang yang menghajikan orang lain adalah dia sendiri sudah menunaikan ibadat haji. Berbalik kepada pertanyaan dan kes yang ditanyakan, dapat dikemukakan bahawa ulama sepakat boleh menghajikan ibu bapa yang berpesan atau berwasiat.

Cuma yang menjadi masalah di sini, orang yang bertanya belum lagi menunaikan ibadat haji untuk dirinya sendiri. Hanya Imam Abu Hanifah membolehkan, tetapi tidak sepenuh hati dengan alasan kebenaran itu sangat lemah.

Nabi Muhammad SAW pernah menegur seseorang yang menghajikan orang lain bernama Syibrimah. Baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau sudah melaksanakan ibadat haji untuk dirimu? Dia menjawab, belum. Nabi SAW pun bersabda, berhajilah untuk dirimu dulu, barulah untuk Syibrimah.

Atas dasar ini, tidaklah dibenar melaksanakan haji untuk diri dan orang lain dalam satu musim haji.

Soalan seterusnya, siapa yang lebih afdal untuk menghajikan ibu bapa, anak lelaki atau anak perempuan. Menurut hemat saya, sama saja sekiranya kedua-duanya memenuhi syarat. Wallahualam

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url