Peter James Butler jurulatih baru Kelantan 2012


BEKAS jurulatih Kelantan dua tahun lalu, Peter James Butler dengan rasmi akan melatih skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Butler yang sebelum ini menjadi jurulatih pasukan Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana, sejak September 2010 hingga Jun 2011, mengakui Kelantan dekat di hatinya dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini TRW dalam saingan Liga Super di Malaysia.

Dia menganggap TRW masih kekal dengan kehebatannya sebagaimana ketika bersama pasukan negeri itu pada 2009 dan mengakui Kelantan sudah banyak meningkat hingga menjadi antara pasukan disegani.

“Kelantan tetap di hati saya dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini pasukan ini selain berhubung rapat dengan pengurusan dan beberapa pemainnya.

“Saya bersedia memikul tugas selaku Ketua Jurulatih bagi saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Lundang, Kota Bharu, semalam.

Ketika mengendalikan Kelantan pada musim 2009, jurulatih kelahiran Halifax, England itu membantu The Red Warriors muncul naib juara Piala FA.

Bekas pemain tengah West Ham United (1992 hingga 1994) itu berkata, setiap jurulatih tidak boleh lari daripada tekanan termasuk penyokong yang sentiasa mengharapkan keputusan terbaik.

“Saya sedia menyahut cabaran yang diberikan, lagipun saya sudah tahu Kelantan adalah pasukan hebat. Saya berterima kasih kerana diberi tawaran untuk kembali mengetuai barisan kejurulatihan Kelantan musim depan dan bertekad melakukan yang terbaik,” katanya yang akan dibantu Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url