Benarkan mahasiswa berpolitik

Oleh Ruhaiza Rusmin

AKTA Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kembali menjadi perbualan hangat serta menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat, baru-baru ini.

Semuanya gara-gara keputusan mahkamah rayuan menolak keputusan bersalah empat mahasiswa kerana terbabit dalam perhimpunan politik sekali gus menjadikan AUKU subjek perbincangan mahupun perdebatan.

Biarpun AUKU merangkumi aspek luas, namun hanya seksyen 15 (5) menjadi tumpuan utama kerana termaktub larangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Seiring kontroversi, ada menganggap AUKU sudah tidak relevan dalam dunia mahasiswa alaf baru tetapi ada pihak lain berpendapat masih perlu bagi tujuan memastikan mahasiswa tidak tergelincir daripada landasan pengajian sebenar.


Persoalannya, benarkah AUKU masih relevan untuk diguna pakai pada masa kini atau sudah menjadi lapuk kerana mentaliti mahasiswa kian jauh berubah?


Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, menyekat mahasiswa daripada terbabit dengan politik hanya menimbulkan masalah atau konflik tidak berkesudahan.

Menurutnya, walaupun masih belajar, tidak bermakna tahap pemikiran atau pengetahuan mereka hanya berlegar di persekitaran kampus sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk melontarkan pendapat.

“Ini bagi membuktikan mereka adalah golongan intelek, jika dihalang samalah seperti mempertikai atau memperkotak-katikkan keupayaan mereka sebagai kelompok terpelajar.

“Dengan kata lain, mengunci mulut daripada memperkatakan mengenai sesuatu isu yang mungkin boleh membangkitkan satu masalah lain pula.

“Pendapat saya, tidak usah disekat keterlaluan keinginan mereka bersuara kerana politik juga antara cara untuk menimba ilmu dan pengalaman. Cara ini lebih baik daripada mahasiswa berkenaan menjadi golongan buta ilmu atau pasif di menara gading,” katanya.

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membuatkan AUKU diperkenalkan pada 1971.

Pada 1975, ia digubal dengan peruntukan lebih ketat menyaksikan mahasiswa tidak boleh lagi terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan politik yang menunjukkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti.

Pada 2009, AUKU sekali lagi dipinda dengan kelonggaran boleh terbabit dalam badan bukan kerajaan yang berdaftar di negara ini sementara parti politik masih tidak dibenarkan.

Menurutnya, sangat tidak relevan mahasiswa alaf baru disekat daripada bersuara hanya kerana segelintir pihak takut pada bayang-bayang sendiri.

“Mengapa perlu disekat padahal hak bersuara adalah milik semua? Asalkan tidak mengganggu sensitiviti yang boleh menggugat keselamatan awam, tiada salahnya.

“Golongan ini hanya ingin melontarkan pendapat mengenai perjalanan arus politik negara berdasarkan kedudukan mereka sebagai pemerhati luar dan berkecuali.
Mereka berhak menyuarakan pendapat.

“Cuma jangan biarkan mereka memegang sebarang jawatan dalam politik. Itu penting untuk menyelamatkan mereka daripada dipergunakan orang lain demi kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas rasionalnya berbuat demikian adalah untuk mengelakkan golongan ini dijadikan ‘topeng’ yang berperanan sebagai pelajar ataupun mewakili parti politik tertentu.

“Takut mereka keliru mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar selain mempengaruhi orang lain dengan kedudukan dipegang. Ini boleh menggugat ketenteraman warga kampus.

“Jika sekadar melontarkan pendapat atau jadi pemerhati, bukanlah masalah besar malah ia boleh dijadikan pengalaman berguna atau memperkukuhkan kemahiran individu melalui proses pembelajaran praktikal,” katanya.

Mengapa AUKU sering menimbulkan polemik tersendiri, dia berkata ketidakfahaman menyebabkan akta berkenaan dimanipulasikan pihak tertentu.

“AUKU merangkumi aspek luas termasuk pentadbiran universiti. Paling menonjol apabila pemahaman masyarakat hanya mengaitkannya dengan larangan berpolitik.

“Pemahaman salah menyebabkan akta ini dipandang serong dan pemahaman betul pula boleh menyelamatkan keadaan,” katanya berpendapat sudah tidak relevan menghalang mahasiswa daripada berpolitik kerana mereka mempunyai banyak saluran memperoleh kebenaran.

Menurutnya, dulu mungkin relevan disebabkan hanya mendapat maklumat melalui sumber terhad, namun dengan perkembangan dan kecanggihan dunia teknologi hari ini, semua yang cuba disorokkan akan tersingkap.

“Masyarakat dan institusi perlu memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk mengemudi hala tuju mereka mengenai politik. Tidak perlu lagi memegang prinsip ‘in loco parentis’ (kerajaan atau institusi mengambil alih tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak belajar).

“Bukankah mereka sudah besar, tahu berfikir serta pandai membuat keputusan.

“Menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi bermakna sudah matang dan tahu setiap risiko, hanya berikan saja pedoman yang baik dan berguna sebagai panduan,” katanya.

Menyekat atau menghalang juga, katanya, bukan saja menyebabkan golongan itu ‘memberontak’ malah boleh menimbulkan masalah lain seperti diperguna atau dimanipulasi pihak yang menangguk di air keruh.

“Mereka hanya mahukan pengiktirafan positif daripada masyarakat dan aspek kepercayaan adalah asas penting yang boleh mewujudkan suasana harmoni.
Masalahnya, masih ada menganggap mereka ‘seperti budak kecil’.

“Sudahlah dikongkong, dilayan pula seperti budak-budak, apakah kesannya untuk jangka panjang? Padahal mereka juga yang bakal meneruskan legasi kepemimpinan negara pada masa depan.

“Tidak perlu melakukan sekatan keterlaluan kerana semakin disekat atau dihalang, mereka berusaha mencari alternatif lain untuk mencari jawapan. Ini lebih berbahaya,” katanya.

Pelajar yang berminat dengan politik hanya segelintir, jadi mengapa mesti menjadikannya isu besar seolah-olah golongan ini mampu menimbulkan kekacauan atau menjatuhkan negara?

“Barisan mahasiswa kita cukup cemerlang akademik, sahsiah dan peribadi bukan seperti di negara lain yang bakal bangkit secara semberono.

“Mereka hanya akan berdebat mengenai sesuatu isu jika pihak tertentu tidak memberi justifikasi yang baik. Meskipun ada pihak berpendapat kuasa mahasiswa boleh menjatuhkan, di negara ini mereka bukanlah ancaman,” katanya.



INFO:

AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971, diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 29 April 1971.

Kebangkitan mahasiswa pada 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan AUKU. Pindaan itu dikuatkuasakan pada 12 Mei 1975.

AUKU diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url