e-Dagang : Janjikan pulangan lumayan
Industri berkaitan e-dagang dan perniagaan hijau dianggarkan bernilai trilion ringgit mulai 2015 ekoran keperluan dan gaya hidup semasa masyarakat global.
Pakar revolusi teknologi, Professor William E. Halal berkata, sumber tenaga alternatif seperti sel suria, turbin angin, bahan bakar bio dijangka berkembang pada kadar 30 hingga 40 peratus setahun.
Katanya, pasaran global bagi teknologi hijau dijangka mencecah AS$10 trilion dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang iaitu lebih besar berbanding industri automotif, penjagaan kesihatan dan pertahanan.
"Kemelut berhubung rizab tenaga dan pengagihan secara tidak langsung mewujudkan peluang ekonomi baharu," katanya dalam kenyataannya di sini.
Menyentuh mengenai tentang kepesatan e-dagang antarabangsa, Halal menjelaskan penggunaannya di peringkat global masih berada pada kadar 15 peratus.
Katanya, pertambahan penggunaan internet menerusi komputer atau telefon pintar daripada kalangan penduduk China, India dan Brazil bakal menjadi penyumbang besar terhadap perkembangan e-dagang antarabangsa.
"Diramalkan tujuh bilion penduduk dunia akan terlibat dalam dunia medium perhubungan yang pantas dan berinteraktif.
"Malah golongan miskin tidak lagi dianggap sebagai liabiliti, sebaliknya sebagai pasaran berpotensi besar bagi barangan mampu milik," jelas beliau.