Penyampai Hot FM Kelate & T’ganu diperkenalkan
Penyampai Hot FM Kelate
Penyampai Hot FM Kelate dan Hot FM T’ganu akui menyertai stesen radio tersebut kerana minat dan bukan kerana mahu mengejar populariti semata-mata.
Kebanyakannya mempunyai pengalaman mengendalikan stesen radio dan ada yang masih menuntut di universiti.
Menurut Syed Mohd Farid Mohd Nor (Farid), 24, dan Mohamad Hafizie Roslan (Fizie) yang akan bertugas di Hot FM Kelate, 23, walaupun mereka pernah bekerja di stesen radio lain, namun mereka tidak melihat ‘perubahan angin’ itu sebagai langkah mudah untuk cepat dikenali dan popular.
“Saya pernah bekerja di Kelantan FM selama dua tahun dan Fizie di Manis FM selama empat tahun.
“Bagaimanapun, niat kami lebih kepada untuk mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran. Kami yakin populariti akan datang sendiri kelak dengan hasil tunjuk ajar insan-insan yang berkualiti di Hot FM,” ujar Farid yang akan bergandingan dengan Fizie.
Mereka akan mengendalikan segmen Hot FM Kelate Gu Kito pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Semasa bertugas di Kelantan sebelum ini, Farid dan Fizie merupakan teman serumah dan tidak mempunyai masalah dari segi mencari keserasian kerana saling mengenali antara satu sama lain.
“Kami sama-sama menyertai ujibakat dan tidak sangka berjaya terpilih serta bakal ke udara bersama-sama. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini.
“Semasa mengendalikan segmen tersebut, saya akan menggunakan bahasa Malaysia seperti biasa manakala Farid akan bertutur dalam loghat Kelantan,” ujar Fizie yang berasal dari Taiping, Perak.
Penyampai Hot FM T’ganu
Sementara itu, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, dari Hot FM Kelate dan Mohd Hermansani Aminudin (Bell), 28, dari Hot FM T’ganu sanggup meninggalkan kerjaya lama mereka yang berlainan bidang daripada penyiaran untuk bekerja sebagai penyampai radio.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pentadbir laman sesawang di syarikat mesin jahit. Tetapi sebelum ini saya pernah menjadi juruhebah sambilan semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” kata Shaz yang meminati penyiaran sejak di bangku sekolah lagi.
Bagi Bell pula, biarpun sudah lima tahun menjawat jawatan penolong pegawai perubatan di Hospital Melaka, pemuda ini sudah biasa terdedah dalam pengacaraan.
“Saya sudah fikir masak-masak untuk berhenti dari kerja lama kerana minat saya untuk menjadi penyampai radio.
“Berbekalkan pengalaman sebagai pengacara majlis sambilan, saya akan memanfaatkan pengalaman itu untuk mengendalikan Hot FM T’ganu,” ujarnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
Dalam pada itu, Nurul Ain Omar (Ain), 22, yang bakal bertugas di Hot FM T’ganu bakal menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Komunikasi Media.
Dia yang bakal menamatkan pengajiannya pada Januari tahun depan akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin sekaligus menjalani praktikal di stesen radio itu.
Selain daripada Bell dan Ain, Hot FM T’ganu turut diterajui oleh Mohd Rafly Rahamat (Rafly), 25, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, sebagai penyampai manakala Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25, sebagai eksekutif muzik.
Sementara seorang lagi penyampai Hot FM Kelate adalah Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, dan eksekutif muziknya adalah Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul), 23.
Mereka akan mula bertugas 2 Januari depan dan konti kedua-dua saluran itu akan berpengkalan di Kota Bahru dan Kuala Terengganu.
Biarpun begitu, Hot FM masih mengekalkan segmen Hot FM AM Krew pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan penyampai Fara Fauzana, AG, Usop dan Faizal Ismail.
Bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, segmen bagi setiap negeri bakal berkumandang pada frekuensi 105.1 di Kelantan dan 105.0 di Terengganu di mana ia hanya boleh didengar di negeri-negeri itu sahaja.
- MSTAR