Siapa lelaki mata keranjang?

Oleh Mariatul Qatiah Zakaria

LELAKI mata keranjang merupakan takrifan kepada mereka yang pantang melihat wanita-wanita cantik. Ia membuatkan hati mereka bergejolak untuk menegur dan berbual-bual dengan lebih dekat atau paling kurang memandang dengan sorotan mata ingin menggoda.

Lelaki mata kerajang lazimnya sinonim dengan gelaran kaki perempuan. Tetapi tidak semua lelaki mata keranjang begitu.

Menurut Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hazli Zakaria, mata keranjang merupakan sifat dan perbuatan seseorang itu dan lazimnya ia kerap digunakan kepada lelaki.

Katanya, ia sudah menjadi sebahagian daripada personaliti sesetengah lelaki kerana kelakuan itu sudah lama terbentuk dan menjadi sebahagian daripada diri mereka.

Oleh itu sebahagian daripada mereka yang bermata keranjang tidak sedar akan kelakuan mereka.

Ini kerana, menurut Dr. Hazli, sekiranya mereka sedar mereka tidak dapat mendalami kesan-kesan yang berlaku berpunca daripada kelakuan mereka sendiri.

"Kebanyakan lelaki mata keranjang percaya perbuatan mereka tidak membawa keburukan. Ia hanya sekadar untuk suka-suka dan tidak memberi apa-apa makna.

"Di sebabkan itu mereka tidak dapat memahami kenapa perbuatan ini (mata keranjang) menjadi isu utama kepada pasangan mereka.

"Selalunya lelaki bermata keranjang ini mempunyai sifat-sifat lain seperti peramah, pandai mengambil hati, periang, pandai membuat orang ketawa, pandai memikat hati dan tahu bagaimana memujuk dengan kata-kata manis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, lelaki mata keranjang juga selalunya sering menjadi perhatian dalam apa jua majlis.

Tetapi menurut Dr. Hazli, ada juga orang jenis pendiam yang bermata keranjang. Tetapi mereka ini mempunyai sifat-sifat lain yang menyenangkan di samping sifat-sifat mata keranjang yang dinyatakan.

Mengulas lanjut, Dr. Hazli yang juga pensyarah di Jabatan Psikitari, Pusat Perubatan UKM, memberitahu, mata keranjang bukanlah sejenis penyakit psikiatri. Tetapi ia lebih kepada sifat watak individu tersebut.

Tidak susah untuk mengenali lelaki bermata keranjang kerana pasangan mereka pasti mengetahuinya.

Yang menjadi persoalannya kini apa tindakan seterusnya sekiranya didapati pasangan bermata keranjang. Patutkah bertanya secara bersemuka ataupun buat tidak kisah?

Adakah akan memutuskan hubungan atau terus bersama?

Yang pasti menurut Dr. Hazli, jawapannya ada pada pasangan tersebut.

Cuma terserah, sejauh mana seseorang itu sanggup menerima kekurangan diri pasangan masing-masing.

Ia juga sebenarnya bergantung kepada tahap self esteem pasangan masing-masing.

Ini kerana sekiranya pasangan berasa selamat dengan keadaan diri sendiri dan juga pada hubungan mereka, pasangan itu tidak akan mengambil kisah tentang sifat mata keranjang pasangannya.

Pada mereka asalkan hati dan cinta tetap pada mereka, sama ada suami memandang orang lain, mereka tak kisah.

"Setakat mana pasangan itu dapat menerima kesan daripada perbuatan pasangan yang bermata keranjang akan menentukan tindakan seterusnya.

"Lazimnya pelaku akan menafikan yang mereka memandang wanita lain kerana sekiranya mengaku, mereka akan mengatakan perbuatan mereka itu adalah 'tidak berdosa' dan tidak membawa apa-apa makna," ulas Dr. Hazli lagi.

Apabila ditanya apakah cara serta bagaimana sekiranya ingin melepaskan diri daripada lelaki mata keranjang itu, Dr. Hazli berkata, memutuskan hubungan adalah jalan terbaik sekiranya masih di peringkat awal hubungan.

Itupun setelah perbincangan dibuat untuk masing-masing cuba memahami pandangan masing-masing.

Sekiranya pasangan lelaki tidak mengaku dan tidak sanggup untuk berubah, keputusan terletak pada pasangan perempuan.

Menurut Dr. Hazli lagi, mata keranjang bukanlah sifat yang diingini, sama ada normal atau tidak.

Kebanyakannya ia ditentukan oleh pandangan masyarakat dan budaya setempat dan selalunya ia merupakan kombinasi pelbagai faktor.

Contohnya ada ahli keluarga yang mempunyai sifat yang sama, kelakuan amat mudah untuk ditiru dan selalunya kanak-kanak akan meniru apa yang orang dewasa lakukan melalui proses pemerhatian.

Selain itu, faktor self esteem juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan seorang lelaki itu mata keranjang.

Ini kerana mereka merasakan diri mereka hebat apabila berada di khalayak dan perasaan menjadi teruja apabila mendapat maklum balas sama ada baik atau tidak dan ini menyebabkan mereka terus melakukan aktiviti tersebut.

Menurut Dr. Hazli, apa sebenarnya yang mereka inginkan adalah sukar untuk ditentukan kerana tiada sebab-sebab yang khusus mendorong mereka untuk meneruskan aktiviti tersebut.

Jawapan akan diperoleh sehingga individu terbabit di temu bual untuk mencari punca sebenar yang menyebabkan sifat mata keranjang ini menjadi sebahagian daripada personaliti mereka.

"Sekiranya ini adalah cara mereka untuk merasakan baik untuk diri sendiri, kita perlu mencari cara lain yang lebih produktif untuk mereka berasa bagus tentang diri mereka.

"Sekiranya aktiviti tersebut merupakan cara untuk mereka berasa seronok dan teruja, perbincangan akan di buat untuk mencari aktiviti-aktiviti lain," katanya lagi.

Secara ringkasnya kalau ada perasaan hormat dan selamat di antara pasangan, masalah pasangan mata keranjang ini boleh diatasi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url