Sukan SEA Ke-26 Berakhir, Myanmar Tuan Rumah 2013
Bertemakan 'Harmony in Victory', seramai 600 penari mempamerkan satu siri koreografi yang menggabungkan kesenian tradisi dan moden diikuti perbarisan atlet.
Naib Presiden Indonesia Boediono yang mempengerusikan majlis itu mengisytiharkan bahawa temasya Sukan SEA ke-26 ditutup secara rasmi sebelum menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Sukan Myanmar Tin Sann.
Myanmar akan menjadi tuan rumah edisi ke-27 yang dijangka berlangsung di Naypyidaw pada 2013.
Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan tarian kebudayaan Myanmar dan penyanyi popular Indonesia seperti Agnes Monica, Afghan serta kumpulan Nidji.
Persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa Palembang menandakan majlis penutup tiba ke penghujungnya.
Indonesia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA kali ini dengan 182 pingat emas manakala Malaysia di tempat keempat dengan 59 emas.
- BERNAMA