Gaol FM perintis radio internet negara
UMUM sudah mengetahui bahawa radio adalah media elektronik terawal yang dihasilkan dengan fungsinya sebagai alat komunikasi dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai.
Sebelum televisyen dicipta sekitar tahun 1920-an, radio memainkan peranan yang penting sama ada untuk menyebarkan berita atau menjadi alat hiburan untuk mendengar lagu.
Sejarah penciptaan radio dikatakan bermula apabila seorang jurutera elektrik dari Rom, Itali, iaitu Guglielmo Marconi telah mengembangkan suatu sistem telegrafi tanpa kabel pada tahun 1909.
Biarpun televisyen mula dihasilkan dan mempunyai kelebihan kerana turut memaparkan visual berbanding radio yang sekadar merangkumi penyiaran audio, tetapi peranannya sebagai media elektronik masih lagi penting sehingga kini.
Sejajar dengan perkembangan teknologi yang berlaku sekarang, ternyata dunia penyiaran radio juga turut menerima impaknya apabila radio internet sudah mula berkembang dengan lebih meluas.
Jika sebelum ini siaran radio adalah berdasarkan kepada gelombang frekuensi untuk mendapatkan saluran yang diingini, kini sesiapa sahaja boleh mendengar radio menerusi talian internet.
Sebenarnya, penyiaran siaran radio yang menggunakan talian internet sudah pun bermula pada pertengahan 1990-an di Amerika Syarikat dan ia juga dikenali sebagai web radio, net radio streaming radio atau pun e-radio.
Liputan belum meluas
Menariknya, seorang penulis terkenal iaitu Carl Malamud telah menjadi perintis kepada perkembangan teknologi baharu itu apabila dia menubuhkan stesen radio internet pertama yang dikenali sebagai Internet Talk Radio.
Sewaktu stesen berkenaan mula dilancarkan pada tahun 1993, rancangan yang disiarkan pula adalah lebih menjurus kepada wawancara dengan seorang pakar komputer tentang perkembangan dunia komputer pada setiap minggu.
Semenjak itu, radio internet dilihat semakin meluas sehinggakan saluran WXYC FM yang berpusat di Carolina Utara, Amerika Syarikat menjadi stesen radio frekuensi yang pertama mengumumkan penyiaran saluran radio itu di internet pada tahun 1994.
Melihat kepada perkembangan medium terbaharu terhadap dunia penyiaran radio, kajian yang dibuat Bridge Ratings & Research pada tahun 2003 mendapati bahawa 19 peratus penduduk di Amerika Syarikat yang berusia 12 tahun ke atas adalah pendengar radio internet.
Kemudian, tinjauan yang dibuat pada tahun 2008 pula menunjukkan tiga daripada tujuh orang penduduk di negara berkenaan yang berusia 25 hingga 54 tahun menikmati saluran radio di internet setiap minggu.
Sehubungan itu, sudah jelas menunjukkan radio internet kini dilihat semakin diterima ramai, termasuklah dengan kewujudan lebih 3,000 buah stesen di seluruh dunia sehingga sekarang.
Mengenai perkembangan radio internet di Malaysia, sebenarnya sudah terdapat banyak stesen radio frekuensi seperti Era FM, Hot FM dan Sinar FM meluaskan penyiarannya menerusi internet.
Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa di negara ini sudah banyak stesen radio internet yang telah muncul, tetapi liputannya masih lagi belum meluas dan diketahui ramai.
Sehingga ke hari ini sudah terdapat sebanyak 149 stesen radio internet yang aktif di Malaysia dan Gaol FM adalah satu stesen yang kini semakin dikenali ramai dan sudah beroperasi kira-kira tiga bulan yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Gaol FM, Datuk Shafik Rizaal Saaban ketika ditemui berkata, idea tentang penubuhan Gaol FM mula timbul ketika dia bersama beberapa orang rakannya berbual-bual mengenai fenomena industri muzik tempatan yang berlaku sekarang.
"Pada mulanya kami sekadar berbincang secara tidak formal, terutaman nasib yang dialami oleh kebanyakan artis baharu sekarang ini. Misalnya, tentang keluhan mereka yang mendakwa lagu mereka sukar diputarkan di stesen-stesen radio biasa.
"Kemudian hasil daripada perbincangan tersebut, maka lahirlah idea untuk mewujudkan sebuah stesen radio yang diberi nama Gaol FM atau singkatan kepada perkataan Gabungan ASEAN Online Lah," jelasnya.
Menurut Shafik, mereka mengambil pendekatan dalam mewujudkan sebuah stesen radio internet memandangkan pengguna internet kini semakin bertambah dan siarannya yang dapat didengari di seluruh dunia.
Jelasnya lagi, sebelum stesen tersebut diwujudkan, dia mengambil masa selama enam bulan untuk mengenal pasti bentuk program-program yang sesuai serta turut mendapatkan pandangan daripada beberapa pemilik stesen radio internet yang sedia ada.
"Kalau melihat kepada fenomena kehidupan masyarakat sekarang, mereka yang memiliki sekurang-kurangnya sebuah radio di rumah semakin kurang berbanding memiliki talian internet.
"Lagipun pada zaman sekarang ini radio lebih kerap didengar oleh orang ramai sewaktu memandu sahaja dan disebabkan itu kebanyakan stesen radio frekuensi sekarang turut boleh di dengar menerusi secara talian internet," ujarnya.
Mengenai konsep yang digunakan oleh stesen berkenaan pula, beliau menjelaskan pihaknya menggunakan pendekatan mesra pendengar dengan memilih segmen-segmen program yang dekat dengan masyarakat.
Ujarnya lagi, pada masa yang sama mereka mahu memainkan peranan dalam membantu penggiat seni muzik tempatan terutamanya artis baharu dengan menyiarkan lagu nyanyian menerusi stesen tersebut," jelasnya.
Namun begitu, Shafik turut menegaskan bahawa kemunculan Gaol FM dalam dunia penyiaran radio bukanlah semata-mata mahu memberikan saingan kepada stesen radio frekuensi yang sedia ada.
Sambutan baik
Sementara itu, Ketua Bahagian Gaol FM, Rahmat Ismail pula memberitahu, biarpun stesen radio tersebut baru berusia tiga bulan, tetapi sambutan yang diterima daripada pendengar sangat baik dan menggalakkan.
Ujarnya, secara purata seramai 800 hingga 900 orang yang mendengar stesen tersebut pada setiap hari dan dia yakin jumlah tersebut akan semakin bertambah pada tahun hadapan.
"Boleh dikatakan para pendengar kami bukan sahaja merangkumi penduduk di Malaysia, malah ia turut didengari oleh rakyat tempatan yang menetap di luar negara seperti Singapura, Thailand, Jepun, New York, London dan Perancis.
"Maklum balas yang diterima juga sangat positif dan rata-rata para pendengar Gaol FM meluahkan rasa puas hati mereka sehinggakan ada yang terus menjadi pendengar setia stesen ini," ujarnya yang menggunakan nama TK Chemat 'US' sewaktu ke udara.
Mengenai interaksi bersama pendengar pula, Rahmat menjelaskan sebagai sebuah stesen radio internet, maka saluran komunikasi yang digunakan juga adalah melalui laman sesawang dan laman Facebook stesen tersebut.
"Walaupun stesen ini berkonsepkan santai dan mesra pendengar, tetapi kami turut mempunyai batas-batas tertentu seperti tidak boleh berbicara tentang perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, agama, politik dan seks," jelasnya.
Mengenai segmen rancangan yang ke udara, Rahmat berkata Gaol FM mempunyai banyak segmen menarik untuk didengari seperti Ko Popular Ke, Kini Ko Bintang, Imer 'Gensi' Call, Santai Jawa dan Mutasi Otak.
Ujarnya, bagi segmen Ko Popular Ke misalnya, pihak stesen radio akan mengundang penggiat-penggiat dalam industri seni tempatan seperti pelakon, penyanyi, komposer, pengarah, penerbit, editor dan wartawan.
"Sebagai sebuah stesen radio yang mengetengahkan konsep santai, wawancara yang dilakukan bersama tetamu undangan tidaklah terlalu formal supaya lebih mesra dan pendengar akan berasa lebih selesa," ujarnya.
Promosi
Biarpun dikenali sebagai sebuah stesen radio yang baru ditubuhkan, tetapi pihak Gaol FM telah merangka beberapa perancangan untuk mempromosikan stesen tersebut kepada pendengar.
Pengarah Eksekutif Gaol FM, Mahathir Mohd. Tahir berkata, antara bentuk promosi yang akan dilakukan adalah menganjurkan satu konsert iaitu Empire Of Rock yang akan berlangsung pada 21 Januari 2012 di Life Centre, Kuala Lumpur.
"Untuk konsert tersebut, seramai 25 orang artis terkenal yang membabitkan artis lama dan baharu akan sama-sama turun padang membuat persembahan di samping mempromosikan stesen radio ini.
Selain itu, pihaknya juga sebenarnya telah merancang untuk menganjurkan sebuah acara yang dikenali sebagai Gaol Music Awards untuk memberi penghargaan kepada penggiat industri muzik tempatan.
Mengikut jadual asal, ia sepatutnya berlangsung pada 10 Disember ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kepada 4 Februari 2012 atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
- KOSMO!