Top Ad 728x90

,

JHEAT kesan usaha aktif murtadkan umat Islam bermasalah

KUALA TERENGGANU 27 Dis. - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan gerakan pihak tertentu yang kini aktif dalam misi memurtadkan umat Islam negeri ini termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Selain golongan itu dijadikan sasaran, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sangat bimbang dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.

Beliau menjelaskan, kumpulan berkenaan dikesan mendekati orang Melayu yang bermasalah atau terpinggir daripada masyarakat termasuk orang pekak, pesakit, mat rempit, penagih dadah serta orang kurang siuman.

"Mereka mendekati orang pekak sambil memberi mangsa hadiah dan lambang agama mereka yang kemudiannya disimpan di dalam poket. Ada juga yang sanggup lekat tatu di badan mereka.

"Semua ini boleh menyebabkan mereka (umat Islam) lari akidah sekali gus terkeluar daripada agama Islam. Kita risau kerana kumpulan itu sangat aktif dengan menjadikan OKU khususnya yang pekak sebagai sasaran," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Kursus Pengenalan Bahasa Isyarat Kepada Penjawat Awam Siri 1/2011 di sini hari ini yang bermula semalam.

Program julung kali itu yang dianjurkan JHEAT dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Pekak Terengganu disertai seramai 130 orang peserta.

Mohd. Rozali berkata, gerakan tersebut turut menjadikan golongan belia melepak sebagai sasaran untuk dimurtadkan.

Beliau mengakui pada masa ini pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kewujudan gejala tersebut di Terengganu yang dikesan bergerak dalam kumpulan kecil sambil menunggang basikal.

Jelas beliau, ada pengakuan daripada mangsa bahawa mereka terpaksa menerima habuan berupa wang tunai daripada gerakan terbabit setelah mengalami kesempitan hidup sebelum keluar Islam.

"Malah kita juga menerima maklumat daripada jururawat dan doktor di hospital yang musykil dengan tindakan pihak terbabit yang mendapatkan maklumat peribadi pesakit secara terperinci," ujarnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90