Top Ad 728x90

Perlembagaan dan undang-undang negara

Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid
Penolong Pengarah di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.

SETIAP negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai perlembagaan masing-masing. Perlembagaan dan undang-undang wujud dalam masyarakat bertujuan menjamin kelangsungan sesebuah negara, menjamin kestabilannya, menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat, menegakkan keadilan serta memberi panduan dan kuasa kepada pemerintah.

Justeru, perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik serta menjamin taat setia rakyat sesebuah negara itu.

Selain itu, perlembagaan juga menjamin hak dan kebebasan awam mengikut batas-batas yang ditentukan perlembagaan. Ini bermakna, perlembagaan menggariskan hak, kuasa, tanggungjawab dan tatacara yang dapat memandu hubungan antara satu autoriti dengan satu autoriti yang lain supaya ia dapat menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil.

Apakah maksud atau takrif perlembagaan itu? Pakar-pakar perlembagaan menyebut perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi bagi kewujudan sebuah negara. Biasanya undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi kesemua undang-undang lain. Mahkamah pula bertindak sebagai penjaga perlembagaan dan mentafsir peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan dengan jelas dan muktamad.

Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang- undang. Ketinggian Perlembagaan Persekutuan boleh difahami dengan jelas di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 75 pula menyebut mana-mana undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal, setakat mana ia berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu.

Parlimen Malaysia merupakan badan perundangan tertinggi yang menggubal undang- undang seperti yang diperuntukan di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan, sama ada Kerajaan Pusat atau pun Kerajaan Negeri akan mengendalikan pemerintahan dan pentadbiran mengikut lunas-lunas yang telah digariskan di dalam Perlembagaan.

Konsep pembahagian kuasa selari dengan kedudukan Malaysia sebagai Negara Persekutuan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam sistem negara (Kerajaan) Persekutuan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri berkongsi kuasa pemerintahan dan perundangan. Selain Malaysia, negara lain yang turut mengamalkan sistem Kerajaan Persekutuan ialah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, India dan Brazil.

Seperti disebut, Perlembagaan Persekutuan menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang. Ada banyak undang-undang yang dikuatkuasakan di negara kita dibentuk melalui Parlimen.

Undang-undang yang terbit dari parlimen ini dikenali sebagai akta, manakala undang- undang yang terbit dari Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenali sebagai enakmen.

Walaupun DUN boleh mengadakan undang-undang tetapi ia masih tertakluk kepada Perkara 75 yang menetapkan undang-undang negeri tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pula makna undang-undang? Terdapat banyak takrifan undang-undang yang dikemukakan oleh tokoh falsafah, sosiologis dan tokoh undang-undang sendiri. Aquinas menganggap undang-undang sebagai 'ordinan akal' mengenai apa yang diisytiharkan baik oleh ketua komuniti.

John Austin pula melihat undang-undang sebagai perintah yang diberi sama ada secara langsung atau tidak oleh seseorang individu atau sesebuah badan yang berdaulat kepada masyarakat atau komuniti di mana kuasa kedaulatan undang-undang (rule of law) tersebut adalah kuasa tertinggi.

Di negara kita badan berdaulat yang menggubal dan mengeluarkan undang-undang ialah Parlimen.

Lady Wooton, pakar sosiologi AS menyatakan undang-undang perlu dihadkan kepada perlakuan dan tindakan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat dan negara. Mana-mana perlakuan yang tidak ada hubungan dengan soal kesejahteraan negara tetapi dilihat tidak selari dengan tatasusila dan nilai peradaban masyarakat perlu diselesaikan dengan 'sanksi' (sanction) masyarakat.

Satu perkara yang harus difahami ialah, perlembagaan dan undang-undang tidak sepatutnya dilihat dari aspek takrifan yang literal kepada peruntukan-peruntukannya semata- mata, tetapi ia juga ia mengandungi dan mendukung falsafah tertentu.

Falsafah perlembagaan bagi negara yang mengamalkan ideologi komunis sudah tentu berbeza falsafah dengan negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti yang diamalkan di negara kita.

Di negara kita perlembagaan mengiktiraf dan menjamin hak asasi manusia. Ini bermakna perlembagaan negara mendukung prinsip hak kebebasan seperti yang terkandung dalam Bahagian 2: Kebebasan Asasi (Perkara 5-13) Perlembagaan Persekutuan.

Hak-hak Asasi tersebut selari dengan Perisytiharan Hak-hak Asasi Manusia Sejagat (HAM)1948, iaitu dalam Artikel 19, 20 dan 21 (HAM) yang menekankan setiap individu memiliki hak kepada pendapat dan penyuaraan, kebebasan berhimpun dan berpersatuan, hak untuk mengambil bahagian dalam negara secara langsung atau wakil yang dipilih secara bebas serta hak terhadap khidmat awam dan negara.

Kesimpulan, perlembagaan merupakan undang-undang utama (induk) bagi sesebuah negara. Ketinggian dan keagungan (supremacy of the constitution) melambangkan ia sebuah dokumen utama yang menjadi 'yard stick' segala tindakan kerajaan dan rakyat dalam sesebuah negara. Ia secara langsung menjadi instrumen yang melahirkan kuasa dan institusi-institusi di dalam sesuatu masyarakat atau negara.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90