Top Ad 728x90

Motosikal elektrik Eclimo ES 25 dijual mulai Januari 2012


MOTOSIKAL elektrik keluaran Eclimo Sdn Bhd (Eclimo) yang berpangkalan di Pulau Pinang akan berada di pasaran tempatan pada akhir bulan depan, sebelum memasuki pasaran Eropah pada Jun 2012.

Model pertama motosikal jenis skuter jenama Eclimo adalah ES11 yang mempunyai kapasiti 125 cc dan digerakkan menggunakan bateri ion litium.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dennis Chuah, berkata pihaknya menyasar untuk menjual sehingga 20,000 unit tahun depan iaitu penguasaan empat peratus pasaran motosikal tempatan.

Sehubungan itu, syarikat itu menjalin kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dengan membentuk satu program keusahawanan untuk pengedar motosikal jenama Eclimo.

Menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan melantik Nexus Technopreneur Sdn Bhd sebagai ‘Peniaga Utama’ Eclimo.

Syarikat itu dan DPMM juga akan membangunkan 10 peruncit Bumiputera yang akan menjual, menyediakan perkhidmatan dan aksesori untuk pemilik motosikal Eclimo pada tahun depan.
“Dengan pelaksanaan program ini, kami percaya setiap peruncit akan memperoleh sekurang-kurangnya RM800,000 setahun dan ini akan memberi sinar baru dalam industri automotif elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian pelantikan Nexus Technopreneur Sdn Bhd sebagai ‘Peniaga Utama’ Eclimo, yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Georgetown, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Eclimo dan Nexus Technopreneur Sdn Bhd, diwakili oleh pengarah urusan masing-masing, Liew Chung Pang dan Amilka Nazim.

Model Eclimo ES 11 boleh dicaj penuh dalam tempoh tiga setengah jam dengan jarak perjalanan sejauh 100 kilometer. Kelajuan maksimum skuter dilengkapkan dengan bateri ion litium adalah 100 kilometer sejam.

Bagi meringankan pembeli, Eclimo bekerjasama dengan Hong Leong dan Mastercard International menyediakan skim bayaran mudah. Pembeli hanya perlu membayar pendahuluan RM100 dan bayaran ansuran RM199 sebulan selama 60 bulan.

Eclimo juga menawarkan jaminan lima tahun bagi alat ganti dan kos buruh dan servis percuma empat kali setahun sepanjang tempoh jaminan.

Dennis berkata, model ES11 akan dikeluarkan di kilang di Pulau Pinang tetapi jika permintaan mencecah 40,000 unit, pihaknya akan bekerjasama dengan Kumpulan NAZA untuk memasang di Shah Alam, Selangor.

Mengenai pasaran antarabangsa, beliau berkata, skuter itu juga akan dieksport ke Itali dan Jepun.

"Sebagai permulaan, kami akan mengeksport beberapa ribu unit ke Itali pada pertengahan tahun depan," katanya.

Eclimo ditubuhkan pada Jun 2008 adalah syarikat tempatan yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang teknologi kuasa mesra alam, terutama untuk sektor pengangkutan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90