Yusry KRU dan Lisa Surihani bernikah 23 Feb 2012
Menurut pasangan tersebut, majlis pernikahan akan diadakan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Presint 2, di sini, manakala majlis resepsi bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari.
Yusry yang juga anggota trio KRU berkata, tarikh tersebut dipilih kerana ia adalah masa paling sesuai memandangkan jadual kerja mereka yang padat dengan sesi penggambaran.
"Kami tiada alasan khusus mengapa tarikh ini dipilih. Cuma masa itu yang paling sesuai untuk kami melangsungkan pernikahan.
"Semalam keluarga saya telah bertemu secara rasmi dengan keluarga Lisa untuk menghantar cincin tanda dan semuanya berjalan dengan lancar," katanya pada sidang akhbar khas bagi mengumumkan tarikh pernikahan tersebut di sini hari ini.
Mengimbas kembali detik perkenalan, Yusry berkata, hubungan bersama aktres filem Ombak Rindu itu berputik melalui Blackberry Messenger (BBM).
Katanya, setelah setahun berkenalan secara maya, barulah mereka mengambil keputusan untuk lebih serius dalam perhubungan.
Pengarah yang sedang sibuk dengan pembikinan filem antarabangsa, Vikingdom itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk bergelar suami setelah menduda sejak bercerai dengan Erra Fazira pada 2006.
"Saya selesa berdampingan bersama Lisa dan kami boleh berbicara tentang apa jua perkara tanpa sempadan," katanya.
Sementara itu, Lisa yang ditemani ibunya pula berkata, angka 23 itu secara kebetulan sama dengan tarikh lahirnya 23 Mac.
"Kebetulan Yusry pula mempunyai kelapangan selepas 20 Februari. Sepanjang Januari kami akan sibuk dengan penggambaran filem Ular dan kesempatan yang ada kami gunakan untuk melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan," jelasnya.
- MINGGUAN MALAYSIA