Jenama bantu konsistensi bisnes One Drop Perfumes
TIAP kali mendapat pulangan perniagaan, tidak kira kecil atau besar jumlahnya, ia menjadi pemangkin kepada peniaga untuk terus berusaha dan menggandakan keuntungan.
Walaupun bukan semua perniagaan atau perkhidmatan menjanjikan pulangan serta-merta, masih terdapat jenis perniagaan yang mudah untuk dijalankan dengan pulangan wang segera jika dikendalikan dengan baik.
Bagi Mohd. Zaidi Jaafar, 40, sejak mengenali jenama pewangi badan tanpa alkohol, One Drop Perfumes, ia telah memberikan nafas baharu kepada perniagaan kecil-kecilannya di Bentong, Pahang.
Mengimbas detik apabila didekati seorang rakan niaga dan pemborong pewangi One Drop Perfumes dari Kuala Lumpur, Salmah Ismail, 38, kira-kira empat tahun lalu, Zaidi tidak menyangka pewangi itu mempunyai pengikut setia sehingga ke hari ini.
“Ia diperkenalkan sejak awal lagi kepada saya, iaitu pada tahun 2008. Saya mula menerima dan menjual seperti bahan kosmetik dan penjagaan diri yang lain. Saya sedikitpun tidak sangka nama One Drop Perfumes merebak dengan cepat sekali gus membantu melonjakkan perniagaan saya,” katanya yang menjadi stokis tunggal di negeri Pahang.
Tarikan
Tambahnya, sejak awal lagi One Drop Perfumes mempunyai tarikan tersendiri dari segi pembungkusan, variasi yang berbeza dalam satu kotak, mudah dibawa, harga berpatutan dan tawaran jenis haruman seperti pewangi berjenama.
Malah, rakan niaga Zaidi, Salmah juga mengakui kenyataan tentang tarikan One Drop Perfumes yang sangat khusus itu.
“Dari segi bisnes pula, kita tidak perlu membuat apa-apa kerana pihak pengurusan One Drop Perfumes membuat promosi dan publisiti yang secukupnya.
“Ia diikuti dengan pelbagai jenis pertandingan dan promosi perayaan yang banyak membantu menggandakan lagi jualan,” ujar mereka.
Dengan tempahan RM30,000 untuk seminggu bagi One Drop Perfumes, Zaidi sudahpun berada dalam zon selesa dengan jualan dan pulangan yang diperolehnya. Tahun-tahun 2009 dan 2010 dikatakan sebagai tahun kemuncak apabila ia adalah tahun paling banyak jualan.
“Selain dibeli untuk kegunaan peribadi, ramai yang memilih One Drop Perfumes sebagai hadiah perseorangan dan hadiah musim perayaan. Kualiti wangian dan harga yang murah lagi berpatutan ini telah membantu perniagaan saya terus konsisten,” kata bapa kepada enam orang anak itu.
Memilih wangian kesukaan peribadi, Dunhill dalam kotak hitam, Zaidi sendiri tidak ketinggalan menggunakan wangian One Drop Perfumes setiap kali keluar rumah.
Manakala, bagi Salmah pula, haruman Apple Blossom menjadi pilihannya dan kebanyakan pelanggan yang telah mencubanya.
“Ia mempunyai wangian yang sangat sedap dan menarik.” Selain itu, Salmah juga menyukai wangian Baby Jazz dan Ephipany untuk suaminya.
“Daripada pengalaman sendiri dan peniaga seperti Zaidi, saya jamin One Drop Perfumes mempunyai keistimewaan tersendiri. Khususnya bagi mereka yang suka wangian, ia akan menjadi serasi dengan diri anda,” kata Salmah.
Peniaga kanak-kanak
Beliau turut berkongsi kisah seorang peniaga muda, kanak-kanak berusia 12 tahun yang membeli pewangi One Drop Perfumes secara borong daripada Salmah untuk dijual di pasar malam dan rumah ke rumah.
“Kisahnya pernah keluar di akhbar. Kanak-kanak itu ialah antara contoh bagaimana One Drop Perfumes mampu mengubah seorang kanak-kanak kepada peniaga yang memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan.”
Dalam pada itu, Kosmo! juga sempat menemui seorang peniaga One Drop Perfumes berbangsa Cina yang kebetulan hadir membeli pewangi tersebut di kedai Salmah.
Chua Boon Kooi dari Sungai Besi memberitahu dia mula menjual produk tersebut sejak dua tahun lalu.
Respons yang menakjubkan daripada rakan-rakan dan saudara-mara membuatkannya kerap membeli secara borong setiap bulan daripada Salmah.
- KOSMO!