Top Ad 728x90

RM20.2 juta peruntukan awal untuk wujudkan daerah baru Kuala Nerus di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan awal sebanyak RM20.2 juta bagi persiapan untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baru di negeri itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan berkenaan baru-baru ini bagi mewujudkan pelbagai pejabat seperti Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, Jabatan Hal Ehwal Agama dan sebagainya seperti yang ada di daerah lain.

"Itu adalah peruntukan awal untuk mewujudkan pusat pentadbiran daerah. Peruntukan itu sebenarnya akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan," katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.

Pada majlis itu seramai 500 penerima fasa pertama diagihkan RM500 setiap seorang BR1M membabitkan peruntukan RM250,000.

Mohd Nasir berkata, beliau pernah memohon daripada kerajaan negeri supaya daerah itu diumumkan penubuhannya pada 1 Januari lalu sempena tahun baru.

Bagaimanapun, katanya ia tidak dapat dilaksanakan dan berharap ia dapat diumumkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Beliau berkata walaupun penubuhan daerah baru itu bukan janji dalam manifesto Barisan Nasional, tetapi oleh kerana sudah berjanji untuk mewujudkannya, harap ia dapat dipercepatkan.

Mohd Nasir berkata, apabila daerah baru itu diwujudkan kelak, ia mampu bersaing dengan daerah-daerah lain kerana ia sudah mempunyai infrastruktur yang menarik dan tidak terdapat di daerah lain.

"Antaranya pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kompleks sukan yang menempatkan stadium, marina tempat berlangsung kejohanan Piala Monsun, Taman Tamadun Islam dan sebagainya," katanya.

Terengganu sekarang mempunyai tujuh daerah bermula di utara iaitu Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Manakala Kuala Nerus di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90