Lelaki lemah punca wanita queen control
Apa persepsi anda pada si isteri apabila membaca petikan dialog isteri di atas? Terlalu mengongkong, terlalu cemburu atau mungkin istilah queen control yang paling sesuai?
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, tidak kira apa zaman sekali pun memang masih wujud sikap-sikap yang dirujuk sebagai queen control.
Sikap ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu, queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga dan satu lagi, queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
Dan menurut Suzana juga lelakilah punca wanita itu dikatakan bersikap queen control.
"Ia berpunca daripada beberapa sebab yang asasnya adalah suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.
"Keduanya suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak-tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab suami tidak berulang lagi
"Dan ketiga suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal penuh oleh isterinya," ujarnya lagi.
Apabila ditanya adakah lelaki akan jemu dengan wanita yang bersikap queen control, Suzana berkata ia terpulang kepada bentuk kawalan (control) daripada wanita itu sendiri.
"Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan rasa jemu malah tak mustahil lelaki akan rasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri.
"Namun, jika sikap mengawal atau mengongkong si isteri dengan hasrat mengawal pergerakan suami supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, memang lelaki akan rasa jemu dan bosan. Sebabnya, lelaki akan mula rasa segala pergerakannya tidak bebas dan terkawal," jelasnya.
Menurut Suzana, sama juga dengan sikap wanita yang memang sejak awal gemar mengawal dan bila bersama dengan teman lelaki atau suami, dia tidak dapat membuang sikap tersebut ditambah pula dengan kegagalan si lelaki mengawal wanita tadi, lelaki pasti rasa jemu dan bosan.
"Kalau sebagai teman lelaki, tidak mustahil wanita tadi akan ditinggalkan dan jika sebagai suami, tidak mustahil juga si suami akan mula pasang mata mencari wanita lain yang boleh memberikan ketenangan kepadanya.
"Paling buruk, lelaki akan mengambil pendirian keluar daripada perkahwinan," tegasnya.
Namun bagi suami, terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan untuk berhadapan dengan isteri yang queen control.
"Perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah menjadi lelaki yang sebenarnya. Maksud saya, jadilah lelaki yang tegas dan menjalankan tanggungjawab.
"Jika anda pernah tersilap, yakinkan isteri atau teman wanita anda bahawa anda telah berubah dan tak akan ulangi kesilapan lalu.
"Pastikan juga anda betul-betul berubah. Ingatlah, teman wanita atau isteri anda mengawal anda kerana sayangkan anda dan ingin hidup bahagia dengan anda,"katanya.
Tambah Suzana, jika teman wanita atau isteri anda memang bersikap queen control sejak awal dan bukan kerana kesilapan anda, anda perlu ubah sikap teman wanita atau isteri anda itu.
Anda perlu sedarkan dirinya tentang kesilapan sikapnya. Sedarkan bahawa dia ialah wanita yang perlu taatkan suami dan tidak boleh sesenang hati mengarah suami itu ini.
"Sebagai permulaan, tanamkan dalam diri teman wanita atau isteri anda untuk bersikap toleransi dan sering berbincang di dalam menetapkan sesuatu perkara atau keputusan.
"Ingatkan wanita anda, walau siapa pun dirinya di luar rumah hatta jika dia adalah bos anda sendiri, di rumah dia adalah wanita yang perlu menghormati dan mentaati perintah suami selagi perintah suami tidak menyalahi ketetapan syarak," jelasnya.
Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya.
Tidak semua wanita suka bersikap queen control tetapi terpaksa bersikap sedemikian demi menyelamatkan sebuah hubungan kasih sayang.
Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki.
"Dengan kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.
"Perkara paling penting, lelaki dan wanita, suami dan isteri perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumahtangga.
"Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tidak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insya-Allah," akhiri Suzana.
- UTUSAN