AmTakaful mula beroperasi
AMFAMILY Takaful Berhad (AmTakaful), pengendali takaful berlesen ke-12 di Malaysia yang memulakan operasi sulungnya, semalam dijangka memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan dan perkembangan sektor kewangan Islam.
Syarikat berkenaan ditubuhkan menerusi kerjasama antara Kumpulan AmBank dan Friends Life Group dari United Kingdom. Ia menggabungkan kepakaran dua entiti termasuk nilai serta prinsipal syariah dan AmTakaful akan memperkenalkan pelbagai penyelesaian takaful keluarga untuk memenuhi gaya hidup serta keperluan pelanggan di negara ini.
Pengerusi Kumpulan AmBank dan AmTakaful, Tan Sri Azman Hashim berkata, pasaran untuk segmen takaful keluarga masih rendah dan secara tidak langsung memberi ruang yang besar untuk berkembang.
“Produk yang diperkenalkan AmTakaful dijangka sesuai untuk keperluan rakyat Malaysia dan ia juga selaras dengan kehendak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan penggunaan kewangan Islam,” katanya.
Menurutnya, kerjasama dengan Friends Life Group dapat memberi peluang kepada AmBank mendapatkan kepakaran tenaga dari luar negara khususnya dalam memperkenalkan takaful keluarga.