Mineral Di Kg Melayu Johor Bahru Bukan Emas - Pakar Geologi
JOHOR BAHRU: Penemuan sejenis mineral berkilau seperti emas di Kg Melayu di sini sejak beberapa hari lalu yang mencetuskan kegemparan akhirnya terjawab setelah pakar mendapati bahawa ia adalah sejenis mineral yang berkilau semata-mata.
Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),Profesor Madya Dr Md Radzuan Junin berkata, batu berkilau yang ditemui bukanlah emas tetapi hanyalah batu yang mengandungi kandungan mineral.
"Saya tidak dapat memastikan sepenuhnya tentang perkara ini kerana tiada sampel yang dihantar kepada kami untuk ujian makmal.
"Bagaimanapun berdasarkan pengalaman saya, batu-batu bersinar ini dikenali sebagai 'emas tipu' yang bercahaya dalam gelap dan bersinar di bawah pancaran matahari disebabkan kandungan besi sulfit atau 'pyrite'," kata Md Radzuan ketika dihubungi The Star.
Beliau berkata, disebabkan batu tersebut ditemui di kuari di kawasan Gunung Pulai berhampiran Pontian, batu-batu tersebut sebenarnya merupakan batu granit yang tertanam dengan besi sulfit kerana sebenarnya tidak terdapat penemuan unsur emas di kawasan itu.
Md Radzuan menjelaskan bahawa unsur emas di Johor hanya boleh didapati bermula dari kawasan Gunong Arong di Mersing ke Desaru dengan adanya aktiviti perlombongan emas secara komersial yang berlaku di Mersing beberapa tahun lalu.
Penemuan batuan yang berkilauan di Jalan mewah di kampung tersebut beberapa hari lalu telah mendorong penduduk tempatan mencari batu-batu itu dengan harapan apa yang mereka temui adalah emas.
Batu-batu tersebut dibuang bersama tanah di kawasan itu oleh Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) untuk projek melebarkan parit dan jalan dua minggu yang lalu. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBJB, Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata kawasan tersebut telah dikawal bagi mengelakkan gangguan penceroboh.
Beliau berkata, kunjungan yang terlalu ramai di kawasan tersebut telah menyebabkan kesukaran untuk kontraktor meneruskan kerja mereka dan menggali batuan dari permukaan tanah.
- MSTAR