Hanya Satu Peratus Daripada 100,000 Anggota PDRM Terlibat Rasuah - Ketua Polis Negara


KUALA LUMPUR: Hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam kegiatan rasuah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata, walaupun jumlahnya kecil namun jika dibiarkan ianya akan merebak lebih besar sepertimana penyakit kanser jika tidak dikawal.

"Apa yang kita kesalkan orang bercakap macam banyak laporan (rasuah) yang dilakukan anggota kita (PDRM). Ini tidak baik," katanya pada sidang media selepas pelancaran poster Jauhi Rasuah PDRM-NKRA bagi membanteras rasuah di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin.

Ismail berkata, beliau akan berusaha memastikan budaya sifar rasuah di kalangan anggota PDRM.

"Saya mohon kerjasama masyarakat supaya bukan sahaja melaporkan jika ada kegiatan rasuah di kalangan anggota PDRM malah menghentikan pemberian rasuah," katanya.

Ismail juga berpuas hati dengan usaha Jabatan Tatatertib PDRM yang ditubuhkan sejak tahun 80-an, dalam membanteras salah laku anggota PDRM termasuk dalam aspek rasuah.

Terdahulu Ismail dalam ucapannya berkata kajian di negara-negara maju menunjukkan terdapat empat jenis rasuah yang sering menjejaskan integriti kolektif sesebuah agensi penguatkuasaan undang-undang.

Empat jenis itu ialah rasuah individu secara kecil-kecilan, rasuah birokratik, rasuah jenayah dan rasuah politik, katanya.

Beliau berkata, setiap warga kerja PDRM, sama ada pegawai, anggota atau pegawai awam dan penguatkuasa undang-undang tidak boleh melakukan kesilapan apatah lagi terlibat dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti rasuah.

"Saya amat kecewa dan sedih setiap kali menerima laporan terdapat pegawai atau anggota yang melakukan rasuah sehingga ada yang tersebar dalam internet sama ada dalam penulisan dan komen klip video seperti YouTube," katanya.

Sementara itu, Hisham berkata, kini terdapat budaya baru di kalangan anggotaPDRM di mana mereka sendiri yang melaporkan jika ditawarkan rasuah oleh masyarakat.

"Pada tahun lepas seramai 157 anggota polis melaporkan mereka ditawarkan rasuah," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url