1,609 Pelajar Ditawar Biasiswa Secara Automatik
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pelajar berkenaan akan layak menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian peringkat tertinggi di dalam mahupun luar negara bermula 2014 sekiranya menepati kriteria dikehendaki.
"Bagi Biasiswa Program Ijazah Luar Negara (PILN), pelajar harus mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 atau menepati syarat pengajian pra-universiti mereka.
"Pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi (luar negara) haruslah mempunyai tawaran kemasukan tanpa syarat dari mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan senarai yang disediakan oleh kementerian.
"Bagi bidang lain, pelajar-pelajar perlu menerima tawaran kemasukan tanpa syarat dari mana-mana 50 universiti terkemuka dunia (ditentukan oleh kementerian)," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.
Bursary itu akan menampung kos pengajian sama ada di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Martikulasi, Baccalaurate Antarabangsa (IB), A-Level atau kursus asas disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Para pelajar boleh menyemak butiran bursary itu dan mengemaskini profil pelajar di www.moe.gov.my bermula 16 April ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, 50 pelajar terbaik dalam SPM 2011 akan ditawarkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN).
"Tajaan terhadap 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 mengikut senarai kementerian adalah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.
"Calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.
Pemilihan untuk PILN 2014 terbahagi kepada empat kategori iaitu kelayakan akademik (20%), populasi etnik (60%), bumiputera Sabah dan Sarawak (10%) dan latar belakang (10%).
Penyertaan kokurikulum, latar belakang sosio-ekonomi dan temu duga akan diambil kira selain kelayakan akademik dengan menitik-beratkan keempat-empat kriteria di atas.
Muhyiddin berkata, calon penerima biasiswa turut akan dinilai oleh Pusat Penilaian Pelajar (SAC) ketika temu duga.
"SAC adalah lebih komprehensif dalam pemilihan dan cara penilaian dibuat berdasarkan tingkah laku, minat, kepimpinan, semangat patriotik, ketahanan dan keyakinan.
"Panel penilaian terdiri daripada pegawai kerajaan pelbagai kaum, profesion dan gred jawatan," katanya.
Para pelajar yang menamatkan pra-universiti tahun ini turut layak memohon biasiswa JPA.
Katanya, JPA menawarkan 10,300 biasiswa kepada pelajar yang menamatkan program pra-universiti untuk melanjutkan pengajian Ijazah Pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Kerajaan membelanjakan kira-kira RM2.12 bilion tahun ini untuk menampung kos pengajian pelajar-pelajar di universiti tempatan mahupun luar negara," katanya.
Muhyiddin berkata, sejumlah 300 pelajar akan menerima biasiswa daripada JPA untuk melanjutkan pengajian di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.
- MSTAR