Alahan penyebab ekzema


RENGSA pada kulit bayi biasanya akan menyebabkan bayi meragam manakala ibu bapa pula tidak selesa. Kerengsaan kulit yang berlaku ini dinamakan ekzema iaitu keadaan kulit yang kering dan gatal.

Pakar Kanak-kanak Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Eric Lee Kim Hor berkata, ekzema biasanya menyerang bayi yang berusia kurang dua tahun.

"Lazimnya ia beransur-ansur sembuh menjelang usia belasan tahun tetapi ada yang berterusan sehingga dewasa. Sebenarnya ekzema tidak dapat dipulihkan tetapi boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai," katanya kepada Pancasihat di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan ekzema terbahagi kepada dua iaitu atopik dan dermatitis sentuhan. Atopik biasanya berlaku pada bayi yang berusia bawah dua tahun dan akan hilang menjelang remaja.

Dermatitis sentuhan pula biasanya disebabkan oleh alahan bahan kimia yang disentuh seperti pencuci.

Kesan ekzema atopik dan dermatitis sentuhan adalah sama iaitu kulit kering, gatal, merah, merekah dan kadangkala mengeluarkan cecair serta berdarah.

Dr. Eric berkata, biasanya pipi, tangan, muka, leher, siku, belakang lutut dan belakang siku mudah diserang ekzema.

"Ini kerana penghalang kulit tidak berfungsi sebaik mungkin. Dalam hal ini, kulit bayi lebih senang diserang infeksi dan alergi yang boleh membuat keadaan lebih teruk," katanya.

Sistem imun badan penghidap ekzema mengecam protein sebagai berbahaya dan membentuk antibodi menyebabkan badan bertindakbalas dengan mengeluarkan histamin yang menyebabkan rengsa pada kulit.

Masalah bertambah teruk jika sel mast (sel yang mengeluarkan histamin dan menyebabkan kegatalan teruk) bertindakbalas dengan protein alergen dan mengeluarkan histamin yang menyebabkan kegatalan dan radangan kulit.

Ia berlaku apabila sel kulit amat sensitif terhadap kehadiran alergen atau benda asing.

Punca Sehingga kini, kata Dr. Eric, punca sebenar ekzema tidak diketahui tetapi ia biasa dikaitkan dengan alahan kepada susu formula, sabun, makanan laut, air berklorin tinggi dan telur.

Ia juga boleh berlaku jika ada rengsa kulit disebabkan oleh bahan kimia seperti mandian buih, syampu, serbuk cuci dan pelembut fabrik.

Biasanya bayi ekzema yang alah atau alergi terhadap susu formula dinasihatkan agar bertukar kepada susu hipoalergenik.

"Ekzema pada bayi berlaku jika ibu atau bapa mempunyai masalah kulit yang sama selain asma dan demam alergi," katanya.

Kanak-kanak yang menghidapi ekzema atopik boleh mendapat dermatitis sentuhan dan didapati reaksi alergi boleh merebak dan menjangkiti tempat lain.

Ekzema amat sulit dihindari kerana bayi akan menggaru dan menyebabkan infeksi hingga boleh mengganggu tidurnya.

KomplikasiDr. Eric berkata, ekzema boleh menjadi satu komplikasi jika berlaku infeksi kulit yang digaru sehingga melecet. Jika berlaku infeksi, ekzema mungkin berdarah dan bernanah lantas memerlukan antibiotik untuk merawatnya.

Beliau berkongsi kes seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terpaksa dimasukkan ke wad dipercayai kerana menggaru sehingga menyebabkan komplikasi.

"Mungkin dia mengalami kegatalan yang teruk," katanya.

Hasil pemeriksaan katanya, pesakit berkenaan didapati mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai ekzema.

"Ibunya mempunyai ekzema yang agak serius di bahagian leher dan lengan tetapi enggan mendapatkan rawatan lanjut.

"Biasanya jika ibu mempunyai alergi, 40 peratus anak akan menghidapinya dan jika ibubapa mengalaminya, peluang untuk mewarisi penyakit ini anak adalah 60 peratus," katanya.

Rawatan Rawatan ekzema bergantung kepada tahap keseriusannya.

Jika bayi mempunyai ekzema ringan, mungkin cukup dengan sapuan losen atau krim.

"Kulit yang kering akan menyebabkan keadaan ekzema lebih teruk, oleh itu gunakan losen berasaskan lemak untuk melembapkan kulit seperti Ceramide," nasihatnya.

Beliau mengingatkan, kanak-kanak dengan ekzema perlu menyapu krim atau losen pelembab beberapa kali sehari untuk mencegah kulit menjadi kering.

Biasanya krim steroid pada dos yang amat rendah juga disyorkan bagi bayi yang menghidap ekzema atopik teruk dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun ramai ibubapa enggan menggunakan steroid pada bayi kerana kesan sampingannya.

"Justeru gunakan krim steroid pada kepekatan yang betul, gunakan secara minimum pada kulit tidak lebih daripada dua kali sehari dan jangan lupa untuk sapukan lebih banyak losen," katanya.

Selain itu, pil antihistamin kadangkala diberikan jika kulit terlalu gatal sehingga mengganggu tidur. Biasanya pil berkenaan diambil waktu malam atau mengikut nasihat doktor kerana menyebabkan mengantuk.

Cara mengelakkan ekzema l Menyusu badan untuk tempoh sekurang-kurangnya empat bulan boleh membantu melindungi daripada ekzema dan alergi. Kementerian Kesihatan mengesyorkan penyusuan badan secara eksklusif selama enam bulan.

- Sesetengah kanak-kanak yang diserang ekzema mungkin juga alergi kepada susu lembu. Bincang dengan doktor terlebih dahulu.

- Tiada bukti bahawa mengelakkan makanan tertentu semasa menyusu atau hamil boleh menghindar bayi mendapat ekzema.

- Simpan diari pemakanan untuk melihat dan mengesahkan apakah yang mencetuskan ekzema dan bincang dengan doktor.

- Sesetengah orang percaya yang pendedahan kepada makanan tertentu akan membuat ekzema lebih teruk kerana lebih kurang 10 peratus kanak-kanak mempunyai ekzema akibat alahan makanan.

- Habuk juga dipercayai pencetus sesetengah kes ekzema walaupun tiada bukti kukuh. .

- Bilik yang panas boleh membuat ekzema lebih teruk, oleh itu pastikan kain-kain katil dan pakaian nipis untuk memberikan keselesaan kepada bayi dan ketahui bagaimana memastikan bayi nyaman dalam cuaca hangat.

- Pastikan kuku bayi pendek untuk mengelak iritasi kulit akibat menggaru.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url