Top Ad 728x90

, , ,

Anwar Nafi Beri Isyarat Hasut Penyokong Rempuh Polis

Ketua Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan bahawa beliau bertukar isyarat dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali untuk menghasut penyokong Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Anwar berkata, isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah ahli Parlimen Gombak itu adalah bermaksud untuk berbincang dengan polis.

Azmin kemudiannya memberitahu, beliau mengangkat ibu jarinya kepada Anwar sebagai isyarat bahawa dia telah berbincang dengan polis untuk membenarkan penyokong memasuki Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau melihat Anwar memberi isyarat kepadanya untuk berunding dengan polis dan beliau membalas isyarat tersebut untuk menyatakan bahawa beliau telah berunding.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya telah memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya telah berbincang polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Azmin turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu propaganda yang sengaja dicetuskan Umno untuk menutupi keganasan dilakukan pihak polis.

"Saya tidak mengeluarkan arahan 'masuk, masuk Dataran Merdeka' kepada penyokong sebelum halangan polis dirempuh. Itu tidak benar," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa memberikan isyarat kepada seorang lelaki India berkemeja-T berwarna kuning yang didakwa sebagai ahli PKR, Negeri Sembilan supaya mengalihkan besi penghadang dan meluru ke Dataran Merdeka, diikuti penyokong lain.

"Saya tidak berkomunikasi dengan lelaki tersebut. Saya tidak ingat dengan siapa saya bercakap tetapi segala isyarat adalah berkaitan rundingan dengan polis," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya lelaki tersebut adalah ahli PKR dan bertindak melampaui keputusan parti.

Malah, terdahulu, katanya, beliau mengarahkan semua penyokong supaya bergerak ke kanan iaitu ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Saya merayu kepada penyokong supaya bergerak ke kanan, bukan ke kiri iaitu Dataran Merdeka tetapi mereka enggan dan bertindak sebaliknya," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertahankan tindakan penyokong yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka kerana menganggap ia bukanlah satu jenayah besar.

Pada Isnin, satu video yang dimuat turun di laman sosial You Tube merakamkan Anwar menunjukkan isyarat ke Dataran Merdeka dan kemudiannya membuat isyarat baru dengan kedua-dua tangan kepada Azmin.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90