PAS Nafi Unit Amal Rempuh Polis
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hasan Tantawi menyifatkan laporan tersebut berniat jahat dan sengaja cuba menjatuhkan reputasi Unit Amal PAS yang bertugas untuk menjaga keselamatan peserta himpunan serta mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini.
"Unit amal bukan skuad penggempur. Saya kecewa dengan laporan media yang memperlihatkan Unit Amal PAS seperti perusuh dengan menayangkan gambar mereka merempuh benteng yang dibuat anggota polis.
"Mereka bukan merempuh, mereka hanya cuba meloloskan diri, supaya penyokong perhimpunan tidak bertembung dengan anggota polis," tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.
Beliau turut mempersoalkan tindakan polis membuat benteng di KLCC kerana menurutnya tindakan tersebut tidak perlu kerana ia bukan kawasan larangan seperti yang termaktub dalam perintah mahkamah yang dikeluarkan Jumaat lalu.
"Mengapa polis tetap membuat halangan di Jalan Ampang? Itu bukan kawasan larangan.
"Ini jelas menunjukkan polis berniat untuk memukul anggota Unit Amal yang selama ini mempunyai trek rekod yang cemerlang,” katanya.
Dewan Pemuda turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai video untuk memuat naik di laman YouTube, ataupun menyerahkannya kepada sayap parti itu supaya dapat dijadikan bukti.
"Dewan Pemuda meminta agar wira-wira rakyat tampil mengemukakan rakaman mereka, supaya pihak kami daripada Juham (Jabatan undang-undang dan hak asasi manusia) dapat mengkaji dan menelititi video berkenaan supaya tindakan perundangan dapat diambil," ujarnya.
Tambah beliau, PAS menyertai Bersih kerana menyokong 84 NGO yang menuntut pilihan raya adil dan bersih, dan sekiranya kerajaan masih lagi tidak melaksanakan lapan tuntutan Bersih, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0.
"Sekiranya tuntutan itu tidak dilayan lagi, kami tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0,” katanya.
Nasruddin turut mendesak agar satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat secara telus dan adil terhadap apa yang berlaku dalam Perhimpunan Bersih 3.0.
"Kami mendesak satu suruhanjaya khas ditubuhkan agar satu penyiasatan rapi telus dan professional dilakukan. Kami menolak sebarang tindakan ganas dan provokasi yang sengaja dicetuskan untuk memberi imej yang buruk kepada Bersih 3.0.
"Saya kira pihak polis patut memberi peluang kepada rakyat berhimpun secara aman tanpa menggunakan senjata. Polis sepatutnya menjaga keamanan rakyat bukannya membelasah rakyat," katanya.
Sabtu lalu, Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air di Dataran Merdeka, Masjid Jamek, hadapa Sogo bagi menyuraikan peserta demonstrasi yang cuba memasuki kawasan Dataran Merdeka.
- MSTAR