Bisnes barang cikai untung besar
Mungkin pekikan peniaga terbabit keras, namun itulah tarikan utamanya selain kepelbagaian barangan dijual.
Murah dan banyak pilihan menjadi faktor masyarakat memilih uptown sebagai destinasi beli-belah. Sebut apa saja peralatan elektronik, beg, pakaian, perhiasan diri, kasut dan jersi, malah produk kesihatan moden dan tradisional boleh diperoleh di kebanyakan uptown.
Ada yang memanggilnya bazar larut malam, pasar minggu dan gerbang malam, namun konsep perniagaan tetap sama iaitu menjual pelbagai barang dengan harga murah dan banyak pilihan.
Meskipun nampak ‘lekeh’ kepada sesetengah orang, siapa sangka perniagaan itu mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada peniaga, malah ada yang mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan!
Meskipun hanya dibuka antara lima hingga enam jam sehari, uptown tetap mempunyai pengunjung tersendiri yang sanggup bersengkang mata untuk membeli barangan dihajati.
Peniaga aksesori telefon, Mustaffa Kamal, 28, atau lebih dikenali dengan panggilan Bob di kalangan keluarga dan rakan berkata, berniaga di uptown mampu memberi pulangan lumayan, namun ia bergantung kepada keadaan.
“Saya mula berniaga lima tahun lalu. Awalnya, ia hanya perniagaan diwarisi keluarga di pasar malam.
“Namun sejak wujudnya perniagaan ini, kami sepakat untuk bertukar angin dengan memilih uptown.
“Mungkin ia nampak macam ‘cikai’ kerana harga barangan dijual bermula RM5 saja.
“Namun sebenarnya ia menjadi lubuk rezeki kepada peniaga sama ada yang menjalankan perniagaan separuh atau sepenuh masa,” katanya yang berniaga di Uptown Cheras, Kuala Lumpur.
Bob mengakui saingan sengit di kalangan peniaga uptown kerana kira-kira 20 gerai menjual produk sama.
Bagi mengatasinya, dia sentiasa perlu mempunyai strategi bagi menarik pelanggan.
“Walaupun saingan sengit, saya bersyukur kerana masih ada pelanggan tetap yang datang setiap bulan untuk membeli aksesori telefon kegemaran mereka.
“Mungkin ia disebabkan kualiti, layanan dan harga yang saya tawarkan lebih murah berbanding yang lain,” katanya.
Mengakui perniagaan itu boleh membawa keuntungan besar, namun ia bergantung kepada keadaan dan musim. Jika musim perayaan dan cuti sekolah, peniaga bakal mendapat ‘durian runtuh’ kerana ramai pengunjung, manakala pada hari biasa pendapatannya hanya cukup makan.
“Biasalah adat berniaga memang ada turun naik, tapi yang penting masih ada keuntungan.
“Pendapatan memang tidak menentu. Pernah saya hanya membawa pulang sekitar RM4,000 sebulan.
“Namun apabila jualan memberangsangkan, ia pernah menjangkau hingga RM35,000 sebulan.
“Sebelum bergelar peniaga lagi, saya mempersiapkan fizikal dan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
- HARIAN METRO