Top Ad 728x90

Hargai pengorbanan polis


Oleh DR. RUSINAH SIRON
Uniten, Bangi

BUKAN mudah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara kita Malaysia yang tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya perlu memberi penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang membantu kita rakyat Malaysia dapat tidur lena dan terjaga dari tidur dengan harapan dapat meneruskan kehidupan dengan jaya.

Indeks jenayah di Malaysia semakin menurun seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Ia sudah tentu melegakan hati dan perasaan masyarakat yang sentiasa takut dan bimbang dengan perbuatan jenayah seperti pembunuhan, penculikan, rompakan, pergaduhan, penyeludupan dan pelbagai lagi aktiviti jenayah yang tidak ada kesudahannya tetapi boleh dikawal peningkatannya.

Terima kasih kepada semua anggota polis yang berpanas, berhujan dan berembun merentas kesesakan jalan raya, banjir kilat, guruh petir, sungai dan parit, lembah dan lurah serta hutan dan belantara untuk mengejar, mencari, menangkap dan menyelesaikan kes jenayah. Tambahan lagi pelbagai cubaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anggota polis dalam menjalankan tugasan mereka yang terdedah kepada pelbagai bahaya.

Kita sebagai ahli masyarakat sudah sepatutnya menghargai tugas dan peranan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada jenayah dan keganasan. Apabila bercakap tentang polis, apa yang tergambar dalam fikiran kita dan apakah persepsi ahli masyarakat terhadap polis?

Ada yang berfikiran positif dan sentiasa memberi sokongan serta penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka. Tidak kurang juga masyarakat yang membuat persepsi negatif dengan tindakan polis yang dikatakan memberi impak negatif kepada sesetengah golongan masyarakat.

Persepsi negatif ini adakalanya memberi implikasi terhadap kepercayaan masyarakat kepada polis sedangkan persepsi ini ada kalanya tanpa justifikasi yang relevan dengan data dan fakta tepat, hanya berfokuskan kepada emosi.

Walau apa pun persepsi positif dan negatif yang ada dalam pemikiran masyarakat terhadap polis, marilah kita berganding bahu membantu polis memerangi jenayah bagi memastikan negara kita jenayah sifar, rakyat hidup dengan aman dan damai.

Marilah kita sama-sama memberi tabik hormat di atas jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga polis dengan menghargai tugas polis itu, iaitu:

P - Prihatin terhadap tugas dan tanggungjawab polis dan sentiasa memberi perhatian dan kerjasama dalam membantu pihak polis menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

O - Operasi yang dijalankan pihak polis sudah tentunya akan melibatkan pelbagai versi dan variasi siasatan dan terdedah kepada bahaya dan ancaman. Jadi kita sebagai ahli masyarakat perlulah berbaik sangka dalam membantu polis menjalankan operasi kepolisan memerangi jenayah.

L - Latih diri dan ahli keluarga kita dengan aspek keselamatan dan juga titipkan sentiasa dalam minda kita, ahli keluarga dan juga masyarakat tentang rasa penghargaan terhadap warga polis dan warga kerja keselamatan lainnya. Komitmen mereka menjaga keamanan membolehkan kita menjalan tugas seharian dan membina kehidupan dengan lebih baik dengan rasa kebimbangan terhadap jenayah pada tahap minimum.

I - Idea yang bernas boleh kita salurkan kepada polis melalui pelbagai saluran seperti Rakan Cop dan ini akan menjadi inspirasi kepada warga polis untuk terus bekerja dengan integriti yang tinggi.

S - Sikap hormat menghormati dan menghargai warga keselamatan seperti polis ini perlulah menjadi amalan ahli masyarakat bagi menjunjung visi dan misi negara iaitu Sifar Jenayah.

Walaupun Hari Polis telah berlalu, masih tidak terlambat untuk kita semua mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga polis di seluruh negara. Polis wibawa, negara sejahtera!

- UTUSAN
 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90