Masyarakat Cina patut sambut baik langkah atasi kekurangan guru
Semua langkah yang diambil kerajaan selama ini bagi menangani masalah kekurangan guru di SJKC amat dipuji, khususnya bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan berjalan lancar. Seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran, langkah itu adalah bukti kerajaan benar-benar komited dan serius dalam menyelesaikan isu kekurangan guru dengan segera dan efektif. Untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong bagi mengadakan perbincangan dengan persatuan pendidik Cina dan pemegang amanah lain, antaranya Persatuan Guru Besar SJKC, Dong Zong, Jiao Zong, Hua Zong dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Hasilnya, kekurangan guru yang pada mulanya berjumlah 4,991 orang pada 2009 berjaya dikurangkan kepada 1,874 tahun ini. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran melantik 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan yang ada dan Guru Besar SKJC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim bagi dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengisi baki 392 kekosongan yang masih wujud.
Kementerian Pelajaran turut mencapai keputusan memindahkan 100 guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa kerana guru terbabit tidak boleh bertutur dan menulis bahasa Cina. Masalah komunikasi ini menyebabkan guru terbabit tidak dapat berinteraksi dengan murid pemulihan yang sudah tersedia lemah.
Sebagai langkah penyelesaian, kementerian memutuskan guru yang mempunyai kelayakan dalam bahasa Cina akan terus kekal di SJKC, manakala yang lain akan ditempatkan semula di sekolah kebangsaan mulai 16 April ini.
Semua langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan ikhlas dalam usaha menyelesaikan isu yang dianggap berlarutan oleh masyarakat Cina, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melakukan apa-apa. Justeru, kita berharap masyarakat Cina akan menyambut baik langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diumumkan kerajaan sebelum ini kerana SJKC tidak pernah sama sekali diasingkan daripada sistem pendidikan negara. Kita berharap langkah itu bukan kerana wujud tekanan daripada mana-mana pihak, pada masa sama, isu pendidikan tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu.
- BERITA HARIAN