Menerajui konsep kesederhanaan
Ahli Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.
PERPADUAN merupakan suatu anugerah yang perlu dipelihara oleh setiap rakyat Malaysia yang berbilang kaum seperti di negara kita.
Setiap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan haruslah menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan dan meningkatkan usaha ke arah mempromosikan satu budaya yang aman, harmoni dan bersatu.
Perpaduan dan keharmonian kaum merupakan sesuatu yang amat penting di segenap pelosok dunia dan tidak terkecuali negara kita Malaysia.
Bagi memastikan keharmonian dan perpaduan di Malaysia, kita perlu memperbanyakkan penganjuran aktiviti antara kaum bermula di peringkat awal dalam kalangan pelbagai suku kaum dan etnik.
Pendidikan mengenai perpaduan seharusnya bermula di sekolah dengan memberi pendedahan awal di peringkat pusat asuhan, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di mana satu daya usaha boleh dihasilkan bagi mempengaruhi nilai keharmonian dan perpaduan.
Pendidikan mengenai perpaduan juga harus bermula di kawasan kejiranan di mana di situlah nilai kehidupan bermula. Tanggungjawab memperkenalkan konsep perpaduan dalam konteks negara berbilang kaum tidak hanya dipikul oleh pihak kerajaan.
Justeru, sektor swasta turut memainkan peranan penting yang perlu digalas bersama. Sektor ini juga harus meletakkan syarat bahawa sumbangan korporat dan tugas-tugas kebajikan tidak hanya memperlihatkan penajaan berunsurkan daya tarikan dan ganjaran menarik seperti di dalam penganjuran program berunsurkan hiburan secara besar-besaran.
Kumpulan syarikat juga dilihat dapat menyumbang ke arah mengetengahkan keharmonian kaum dan menyatukan pelbagai kaum, mempromosikan pemahaman serta menghargai antara satu sama lain menerusi organisasi ilmu sivik, kebudayaan dan aktiviti kesukanan.
Kehidupan pelbagai kaum dan bermasyarakat merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia telah menjadi sumber rujukan kepada integrasi kaum sekian lama yang turut menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah tempat yang harmoni untuk didiami, menimba ilmu, bekerja dan juga bermain.
Dalam kita memperjuangkan 1Malaysia ke arah perpaduan nasional, Yayasan 1Malaysia memainkan peranan untuk mempromosikan sebuah Malaysia yang bersatu dalam konteks kepelbagaian.
Konsep 1Malaysia perlu mengorak langkah demi mengembalikan proses pembangunan perpaduan melibatkan setiap rakyat Malaysia tanpa memilih bangsa, warna kulit dan kepercayaan.
1Malaysia perlu mempunyai urusan penting dalam mewujudkan persefahaman antara satu sama lain, menghormati dan saling mempercayai antara satu sama lain di dalam negara berbilang kaum berkenaan dengan hal pembangunan perpaduan.
Sudah tiba masanya untuk semua rakyat yang cintakan keamanan berdiri teguh mendukung kesederhanaan. Malaysia mesti menerima kesederhanaan dan menjadikannya sebagai amalan dalam semua aspek kehidupan.
Walaubagaimanapun, ia mesti diberi penekanan bahawa untuk menjayakan pendekatan kesederhanaan, ia bukan sahaja mesej di bibir malah ia perlu dimartabatkan dan diamalkan oleh rakyat serta pemimpin.
Ia adalah penting bahawa tingkah laku dan sikap sederhana yang berasaskan kepada sikap hormat menghormati dan saling menerima boleh memastikan perubahan positif untuk kebaikan negara.
Ekstremisme dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima kerana ia terbukti membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, hanya kesederhanaan yang boleh membuka jalan bagi keamanan dan keharmonian.
Di samping kita ingin melihat kesederhanaan di pentas dunia, kita di Malaysia mesti menerajui dan menjadi contoh dengan mempraktikkan kesederhanaan sebagai amalan dalam kehidupan harian kita.
- UTUSAN