Program MyProCert lahirkan ramai profesional ICT
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya percaya melalui program yang dilaksanakan Multimedia Development Corporation (MDeC) itu, seramai 12,000 golongan profesional ICT tempatan dapat dilahirkan menjelang tahun 2015.
“Bagi tahun ini, menerusi program MyProCert, kita mahu melahirkan kira-kira 1,200 golongan profesional dalam bidang ICT dan ia juga adalah usaha kerajaan untuk melahirkan pekerja tempatan berpengetahuan tinggi.
“Kementerian percaya menerusi program ini, mereka dapat memenuhi permintaan pasaran tanpa perlu bergantung kepada golongan profesional daripada luar negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program MSC Malaysia MyProCert di sini, baru-baru ini.
Subramaniam berkata, walaupun setiap tahun ramai graduan menamatkan pengajian dalam bidang ICT namun begitu pihak industri masih mengutamakan soal profesionalisme.
“Oleh itu, satu daripada usaha untuk meningkatkan kemahiran profesional graduan adalah menerusi program berkenaan yang turut memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
- BERITA HARIAN