Talian Nur 15999 percuma di telefon awam sekolah

KUALA LUMPUR 31 Mac - Perkhidmatan Talian NUR 15999 boleh dibuat secara percuma di lebih 40,000 telefon awam di sekolah-sekolah di seluruh negara mulai bulan Jun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkhidmatan secara percuma itu ditawarkan bagi memudahkan golongan kanak-kanak dan remaja membuat aduan mengenai masalah dera atau perkara-perkara lain yang membabitkan keselamatan mereka.

"Melalui perkhidmatan ini, kanak-kanak dan remaja berpeluang berkomunikasi dengan konsultan Talian NUR 15999 secara percuma bagi mendapatkan nasihat dan maklumat serta melaporkan aduan atau masalah yang mereka hadapi.

"Memang tidak nafikan ada segelintir yang menyalahgunakan talian ini, namun yang lebih mustahak adalah kita di peringkat kementerian perlu memberi ruang dan peluang untuk mereka membuat aduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) di Taman Metropolitan, Kepong di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Shahrizat turut menyampaikan geran Program Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (Sekata) bernilai RM620,000 kepada tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program Karisma peringkat komuniti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diadakan hari ini berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka, cabutan bertuah dan persembahan artis tempatan.

Menurut Shahrizat, perkhidmatan Talian NUR 15999 secara percuma itu dapat dijayakan menerusi kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat.

''Talian itu merupakan pusat panggilan bersepadu yang bertanggungjawab terhadap semua pertanyaan, aduan dan permohonan khususnya berkaitan aspek kebajikan dan sosial di bawah kementerian,'' kata beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url