Amerika dedah amalan guna dron


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pegawai anti pengganas White House, John Brennan mendedahkan kepada umum berhubung keputusan untuk membunuh sasaran Al-Qaeda dengan menggunakan dron.

Ia merupakan kali pertama pentadbiran Obama mendedahkan amalan tersebut secara terperinci kepada umum tentang penggunaan pesawat tanpa juruterbang itu.

Bercakap di sini kelmarin, Brennan berkata, Presiden Barack Obama mahukan amalan tentera AS diketahui setahun selepas serbuan oleh komando Tentera Laut telah menyebabkan Ketua Al- Qaeda, Osama bin Laden terbunuh di bandar Abbottabad, Pakistan.

"Ya, bagi menghalang serangan pengganas ke atas AS dan bagi menyelamatkan nyawa rakyat AS, pentadbiran negara ini melancarkan serangan terhadap pengganas Al-Qaeda tertentu, kadangkala dengan menggunakan pesawat kawalan jauh yang dikenali sebagai dron," kata Brennan.

Menurutnya, sasaran serangan dron dipilih bergantung kepada tahap ancaman individu ke atas keselamatan AS.

Brennan berkata, membunuh anggota Al-Qaeda dengan menggunakan dron adalah sah di sisi undang-undang seperti yang dilakukan terhadap komander tentera Jerman dan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Pakistan kelmarin mengutuk serangan tentera AS yang menyebabkan tiga suspek militan mati di barat laut negara tersebut.

Sebelum ini, negara tersebut mengutuk serangan yang menggunakan pesawat tanpa juruterbang itu.

Bagaimanapun, dia membenarkan dron tersebut digunakan di beberapa kawasan yang didiami penduduk suku kaum.

- AGENSI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url