Guru unggul miliki kesabaran dan kasih sayang
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.” (Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad)
Selain itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat At-Thabrani)
Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada tindakan guru.
Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah.
Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.
Selain itu, guru hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan semua pelajar supaya segala ajarannya akan memberi kesan.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu ilmu pengetahuan, perubahan hasil daripada ilmu diperoleh dan guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang.
Rasulullah SAW adalah pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A’uf, Abu Huraira dan Saad bin AbiWaqas.
Hari ini, guru perlu menerima hakikat adanya ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak dan beranggapan pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata melakukan kesalahan.
Kesannya, murid berasa lebih hebat dan berani untuk melawan guru. Jadi, bukan sesuatu yang pelik banyak kes berlaku hari ini membabitkan disiplin pelajar sehingga berlaku pergaduhan dengan guru. Sebab itu tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Hadis riwayat At-Thabrani)
Guru juga berdepan dilema sikap ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan anak mereka melakukan kesalahan. Sepatutnya ibu bapa perlu mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan guru, bukan terus memihak kepada anak mereka.
Cabaran lain dihadapi guru masa kini ialah melakukan transformasi kerana zaman guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sudah berlalu sebaliknya tugas mereka kini menjadi pemudah cara kepada murid menimba ilmu pengetahuan.
Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia, peka serta menggunakan situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu dirangsang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Tambahan dengan adanya sumber maklumat serta teknologi terkini yang canggih.
Guru juga berperanan menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Sumbangan guru itu menjadikan mereka jurutera yang membentuk manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat padaKu semata.” (Surah az-Zariat, ayat 57)
Kerjaya guru membuka luas ruang untuk mendapatkan pahala dan reda Allah kerana keikhlasan menjadikan setiap amal perbuatan dikira sebagai ibadat.
Oleh itu, walau apa pun cabaran dihadapi, guru dapat mengharunginya kerana niat serta perjuangan mereka adalah jelas demi membina modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Marilah kita hayati kata-kata Saidina Ali yang bermaksud: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”
Menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang diwartakan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)
- BERITA HARIAN