LHDN terima 1.728 juta Borang Cukai melalui e-filing


KUALA LUMPUR 1 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima sebanyak 1.728 juta Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) untuk tahun taksiran 2011 melalui kaedah e-filing tahun 2012 ini.

Lembaga tersebut dalam satu kenyataan berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.29 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 1.723 BNCP.

"Peningkatan bilangan borang diterima melalui e-filing saban tahun menunjukkan bahawa kesedaran terhadap penggunaan kaedah itu bertambah.

"Ini terbukti bahawa e-filing bukan sahaja mudah, tepat dan selamat malah membantu dalam mempercepatkan proses taksiran cukai serta bayaran balik cukai terlebih bayar," ujar kenyataan berkenaan.

Daripada jumlah tersebut juga, kata kenyataan itu, sebanyak 166,262 BNCP diterima pada 30 April lalu.

Katanya, penerimaan BNCP yang agak perlahan oleh pihaknya pada waktu ini berpunca daripada tempoh tangguh (grace period) sehingga 15 Mei depan yang ditawarkan LHDN kepada pembayar cukai.

"Ia turut menunjukkan bahawa masih terdapat dalam kalangan pembayar cukai yang tetap menunggu saat-saat akhir untuk menghantar BNCP," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun ujar kenyataan itu, LHDN yakin angka tersebut akan bertambah menjelang berakhirnya tempoh tangguh yang ditawarkan itu.

- UTUSAN

 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url