Penyakit Tidak Berjangkit Ancaman Kesihatan Baru Di Malaysia

Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini merupakan ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lepas mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan 2.6 juta menghidap diabetes.

"Situasi NCD di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialahmasih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Terdahulu itu, Dr Hasan merasmikan Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat Kuala Lumpur di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini Ahad.

Tinjauan NHMS pada tahun lepas menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Tinjauan itu juga menunjukkan obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.

Dr Hasan berkata, kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88 lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi.

Selain itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan menjalankan aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan awal.

Dr Hasan berkata, punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kinimengamalkan amalan hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam.

Selain itu, beliau berkata, tinjauan NHMS mendapati ramai rakyat Malaysia tidak melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

"Individu yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kalaia hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.

"Sehubungan itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url