SPR pamer daftar pemilih tambahan 2012
SPR dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur memaklumkan senarai itu dipamerkan selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran
Pemilih) 2002.
Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri di 15 tempat, Pejabat Pos Berkomputer (451), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (124), Majlis Daerah/Perbandaran (48), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (194) dan lain-lain tempat (34).
Semakan juga boleh dibuat melalui laman web SPR di www.spr.gov.my, menurut suruhanjaya itu.
Menurut SPR sebanyak 289,255 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 104,430 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar telah diterima bagi tiga bulan pertama tahun ini.
"Warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak senarai tersebut," menurut SPR.
Suruhanjaya itu memaklumkan warganegara yang baru berdaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.
Sementara bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih itu boleh mengisi Borang C, tidak melebihi 20 orang, katanya.
Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang Daftar Pemilih tersebut dipamerkan.
"Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu," menurut kenyataan itu.
SPR memaklumkan bahawa suruhanjaya itu tidak mempamerkan senarai nama yang akan dipotong dari Daftar Pemilih yang telah hilang kelayakan seperti meninggal dunia, lucut hak warganegara dan sebagainya.
"Bagaimanapun, untuk memudahkan parti politik membuat semakan kepada senarai nama itu, SPR akan mengedarkan cakera padat (CD) yang mengandungi senarai nama yang akan dipotong kepada parti-parti politik," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau faksimili 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
- BERNAMA