Ziyyad Al-Asyja'iyah, Ku'aibah perintis kerjaya jururawat dalam Islam

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM terlebih dulu merintis usaha mewujudkan kerjaya jururawat walaupun ketika itu ia bukanlah dalam bentuk ‘rasmi’ seperti masa kini. Rasulullah SAW tidak pernah menegah muslimah turut sama menyertai misi ke medan perang dan pembabitan mereka membantu merawat pejuang tercedera.

Kisah Ummu Ziyyad Al-Asyja’iyah adalah bukti Islam perintis kepada usaha membina kerjaya jururawat. Ummu Ziyyad Al-Asyja’iyah seorang pejuang wanita yang bersemangat kental dan dalam peperangan Khaibar, dia berdiri teguh di samping pasukan Islam.

Dalam perang Khaibar itu, beliau keluar bersama lima sahabat wanitanya menemui Rasulullah SAW. Tatkala melihat Ummu Ziyyad bersama lima lagi wanita itu, Baginda bertanya dengan nada keras, “Dengan izin siapakah kalian keluar? Lalu mereka menjawab: Ya Rasulullah SAW, kami keluar dengan membawa ubat untuk mengubati orang yang tercedera, kami akan mengambil anak panah, kami akan menyediakan makanan dan minuman untuk mereka yang bertempur, kami akan bersiap sedia, dan kami berjuang di jalan Allah. Sebaik mendengar penjelasan mantap kumpulan wanita itu, Rasulullah SAW pun membenarkan mereka turut serta. Kata Rasulullah SAW: Laksanakanlah.”

Sebagai mengenang sumbangan jasa wanita diketuai Ummu Ziyyad itu, Rasulullah SAW telah membahagi-bahagikan buah kurma untuk mereka sebaik saja pasukan Islam berjaya menguasai Khaibar.

Seorang lagi wanita yang boleh kita nobatkan sebagai perintis kepada bidang kejururawatan dalam Islam ialah Ku’aibah binti Sa’ad Al-Aslamiyah. Beliau wanita cerdas dibesarkan dalam kalangan keluarga Arab yang mulia dan termasuk kalangan wanita dihormati pada zaman Rasulullah SAW.

Banyak aktiviti kemasyarakatan dilaksanakannya antara yang jelas ialah menyediakan satu ruang khas di masjid untuk dijadikan bilik rawatan pesakit. Malah dilaporkan beliaulah yang merawat Sa’ad bin Muadz yang terkena panah semasa perang Khandak. Beliau dengan penuh sabar merawati Sa’ad sehinggalah Sa’ad menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan menghargai sumbangan tenaga Ku’aibah dan pernah Baginda menghadiahkan anak panah yang biasanya digunakan kaum lelaki.
Jadi, berdasarkan dua kisah itu maka jelaslah kepada kita Islam mengiktiraf sumbangan, jasa jururawat dan ini seharusnya menaikkan motivasi seluruh jururawat tanah air untuk terus gigih berkhidmat menabur bakti.

Jururawat perlu memiliki sifat peribadi mulia kerana bidang ini adalah bidang kemanusiaan. Sifat sabar ibarat ‘pakaian’ peribadi yang tidak boleh ditinggalkan. Meskipun dihambat aneka kerenah gelagat pesakit, namun jiwa seorang jururawat harus kebal dengan dugaan itu.

Bersengkang mata bertugas di syif malam begitu mencengkam perasaan, namun itulah watak seorang jururawat yang mesti terus bersabar dan menganggap kerjaya itu sebagai ruang dan peluang untuk mengaut amalan berpahala di sisi Allah.

Bagaimanapun, banyak kita dapati, petugas hospital atau klinik yang hanya mengehadkan skop tugas kepada perawatan semata-mata. Alangkah baik dan murni seandainya petugas khususnya jururawat bertindak juga sebagai pembimbing kepada pesakit dalam aspek keagamaan.

Contohnya, membimbing dan menasihat pesakit berhubung aspek ibadah solat. Ini sudah tentu akan menambahkan lagi ganjaran pahala kerana mengajak manusia lain kepada perintah Allah adalah sesuatu amalan besar pahala yang dijanjikan Allah.

Kita seharusnya menghargai sumbangan jasa jururawat yang begitu tinggi nilai kemanusiaannya. Kepada jururawat pula, jadikanlah kerjaya ini sebagai ‘batu loncatan’ dalam memperbanyakkan amalan berpahala dan mengharap keredaan Allah.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url