Beza pinjaman peribadi dan kad kredit
Saya ingin tahu apakah manfaat menggunakan pembiayaan peribadi berbanding pembayaran menerusi ansuran kad kredit? Saya berhasrat untuk mendapatkan kemudahan kredit untuk tempoh enam bulan.
JAWAPAN:
Terdapat beberapa perbezaan yang ketara di antara pembiayaan peribadi dan produk ansuran kad kredit. Ini termasuklah tempoh pembiayaan, jumlah pembiayaan yang layak diterima, keperluan dokumentasi dan kadar yang dikenakan.
Lazimnya pembiayaan peribadi menawarkan tempoh pembiayaan lebih panjang antara dua hingga tujuh tahun berbanding tempoh pembiayaan produk ansuran kad kredit yang lebih singkat antara enam hingga 36 bulan.
Tempoh pembiayaan lebih panjang memberi manfaat kepada peminjam dari segi fleksibiliti aliran tunai kerana perlu membayar ansuran bulanan yang rendah.
Sebaliknya, disebabkan tempoh pembiayaan singkat bagi ansuran kad kredit, peminjam perlu memperuntukkan jumlah aliran tunai lebih tinggi untuk memenuhi komitmen bulanan mereka.
Selain tempoh pembiayaan lebih panjang, produk pembiayaan peribadi menyediakan jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding produk ansuran kad kredit.
Tawaran yang diberi bergantung kepada ciri dan syarat produk setiap bank, tetapi terutamanya bergantung kepada kemampuan pelanggan untuk menguruskan komitmen pembiayaan tersebut.
Biasanya, jumlah pembiayaan maksimum yang boleh didapati oleh peminjam menerusi produk ansuran kad kredit terhad kepada peratusan tertentu had kad kredit mereka yang sedia ada.
Contohnya, jika peminjam mempunyai had kad kredit sedia ada sebanyak RM15,000, maka jumlah maksimum yang mungkin boleh digunakan untuk produk ansuran mungkin terhad kepada RM5,000.
Manakala RM10,000 lagi akan digunakan untuk urus niaga kad kredit. Nilai pembiayaan peribadi biasanya tidak bergantung kepada had kredit pelanggan. Keperluan dokumentasi juga berbeza di antara dua produk ini dan lebih banyak dokumen mungkin perlu dikemukakan untuk mendapatkan kemudahan kredit yang lebih besar.
Paling penting sekali, pelanggan perlu menilai dengan teliti komitmen pembiayaan mereka yang sedia ada serta kesesuaian dan kemampuan membayar balik pembiayaan tambahan sebelum memilih kemudahan yang memenuhi keperluan mereka.
Kadar yang ditawarkan biasanya berbeza antara dua produk ini dan pelanggan perlu memahami bagaimana untung dikira, serta jumlah yang perlu dijelaskan termasuk jumlah pembiayaan, keuntungan dan sebarang yuran, caj dan terma dan syarat yang diguna pakai.
Maklumat ini akan membolehkan pelanggan menilai kesesuaian setiap pilihan produk dengan keperluan mereka, kesan tanggungan baru ini terhadap aliran tunai bulanan mereka dan kedudukan kewangan keseluruhan mereka.
- UTUSAN