Mobile Health - Akses rekod pesakit di internet
MOBILE Health Sdn Bhd, muncul syarikat pertama di dunia memperkenalkan sistem pengawasan kesihatan bersepadu, MobileHealth2U yang membolehkan pesakit atau doktor mengakses rekod kesihatan mereka di mana-mana saja menerusi internet.
Ketua Eksekutifnya, Teoh Seng Jing, berkata pihaknya mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan sepenuhnya sistem itu yang dilakukan oleh sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT) dan doktor.
Beliau berkata, dengan pengenalan sistem itu, ia akan mempermudahkan kerja doktor untuk mengakses rekod kesihatan pesakit pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
“Bayangkan situasi anda sedang melancong ke luar negara dan tiba-tiba jatuh sakit. Apabila dimasukkan ke hospital di sana sudah tentu doktor akan memerlukan rekod kesihatan anda untuk melakukan rujukan sebelum dapat melaksanakan diagnosis.
“Rekod anda pula ada di hospital di Malaysia menyebabkan doktor di sana perlu menelefon bagi mendapatkan rekod itu dan bayangkan kesukaran yang perlu ditempuhi lebih-lebih lagi jika membabitkan sakit kronik,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi HSC Healthcare Sdn Bhd, Dr YC Lim.
Teoh menegaskan, bagaimanapun masalah itu kini dapat diatasi apabila segala rekod kesihatan pesakit sudah boleh didapati dan dirujuk dengan pantas dan mudah di dalam internet menggunakan aplikasi syarikatnya itu.
Katanya, aplikasi berkenaan juga kini sudah boleh didapati di semua platform mudah alih sama ada iPhone atau yang menggunakan sistem operasi Android yang kini boleh dimuat turun secara percuma.
Pihaknya juga dalam perancangan memperluaskan sistem itu ke hospital tempatan lain dengan permulaan dipasang di HSC Medical Centre yang juga syarikat induk kepada Mobile Health.
“Selain hospital, kami juga merancang untuk menjualnya kepada pemaju hartanah dan kini sedang bekerjasama dengan pemaju HSB Development Sdn Bhd.
“Sistem dikenali sebagai sistem pengawasan kesihatan di rumah atau MediHome ini akan membolehkan penghuni rumah memeriksa sendiri tahap kesihatan mereka di rumah.
“Mereka boleh memeriksa tekanan darah, tahap glukosa di dalam darah dan elektrokardiogram (ECG) sendiri di rumah serta menghantarnya ke aplikasi MobileHealth2U untuk disimpan untuk rujukan pada masa akan datang,” katanya.
Sistem itu katanya juga boleh dibeli pada pada harga sekitar RM7,000 yang mengandungi peralatan memeriksa tahap glukosa di dalam darah, tekanan darah dan ECG yang memeriksa kadar denyutan jantung atau nadi.
- BERITA HARIAN